Jika bertandang ke Sarawak, rugi kalau tidak mencuba Mi Kolok, makanan ikonik Bumi Kenyalang yang sudah dikenali di mana-mana. Rasanya yang enak pasti menggamit selera dan mengundang rasa untuk mencubanya, lagi dan lagi.
Terdapat banyak gelaran dan jenis Mi Kolok iaitu Mi Kolok Biasa, Mi Kolok Sapi, Mi Kolok Basah dan sebagainya.
Mi kolok adalah sejenis makanan yang dihidangkan bersama kuah sup dan kicap. Ia enak dimakan ketika masih panas.
Pada masa ini telah banyak resepi Mi Kolok yang dimodenkan dan juga disesuaikan dengan keadaan semasa atas permintaan peminat makanan ini.
Pembuatan Mi Kolok memang mudah sahaja berbanding dengan beberapa hidangan lain yang berasaskan mi.
Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuatnya terdiri daripada (bahan-bahan satu orang makan iaitu satu gulung mi kering (mi sanggul atau jenis Yee Mee), tiga ulas bawang putih (dimayang), dua sudu besar minyak, dua sudu besar sos tiram, dua sudu besar kicap pekat, dua sudu besar kicap cair, empat helai daun sawi (potong satu inci), 1/2 cawan daging atau daging ayam rebus (rebus dengan satu ketul kiub ayam Maggi), tiga cawan air rebusan daging atau ayam, 1/2 labu bawang besar (potong berbaji halus), bahan perisa seperti garam, gula, lada sulah dan serbuk perasa secukup rasa.
Dalam pada itu, untuk hiasannya pula hanya memerlukan daun bawang dan bawang goreng.
Cara-cara membuatnya ialah mula-mula dengan memanaskan minyak untuk menumis bawang putih sehingga naik bau dan kemudian masukkan bawang besar serta kacau seketika hingga layu.
Kemudian, masukkan bahan seperti sos tiram, kicap pekat, kicap cair dan air rebusan daging atau ayam, dan biarkan sehingga sedikit lembut.
Selepas itu masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa dan perlu dikacau seketika.
Seterusnya, masukkan potongan daging lembu atau daging ayam rebus yang telah dipotong nipis. Setelah itu, masak mi hingga lembut sedikit dan layukan sawi.
Akhir sekali, angkat mi dan hidangkan segera. Hiaskan dengan daun bawang dan bawang goreng, atau tambah lada sulah jika suka.
Oleh NUR AIN OTSMAN