Tidak semua orang dianugerahkan bakat menulis, apatah lagi untuk menulis karya-karya kreatif dan berkualiti. Menulis perlu dipupuk daripada minat, kesungguhan dan kemahuan, disusuli dengan bimbingan daripada karyawan mampan.
Lazimnya sesuatu isu perlu dicari dan dicatat, diteliti isinya dan dimantapkan dengan sedikit penyelidikan sehingga terhasillah penulisan, sama ada kreatif atau bukan kreatif.
Tugas seorang karyawan bukan setakat menulis tetapi juga perlu merangsang minat, membuka minda dan mengembangkan ilmu serta pemikiran pembaca melalui penguasaan bahasa secara kreatif dan gaya bahasa yang menarik.
“Jadikan menulis sebagai instrumen mengarang kerana menggunakan bakat sebagai pendakwah seni yang berilmu, maka hasil karyanya yang lebih bererti dan lestari. Perjuangan akan lebih menyerlah dan perjuangan ini perlu bergerak seiring dengan penciptaan karya-karya sastera yang bermutu tinggi,” kata Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Malaysia, Shafiee Ahmad.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Tinta Kenyalang 2022 dan Malam Lestari Bahasa anjuran DBP Sarawak di sini, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro itu juga menyebut bahawa bakat-bakat istimewa karyawan perlu dimanfaatkan dan disalurkan ke arah kebaikan.
Karya hasil cetusan rasa yang lahir daripada jiwa yang tulus dan bersemangat bukan hanya dapat memberikan manfaat kepada diri penulis, malah mampu menyumbang ke arah pembentukan generasi kreatif dan berilmu.
Tegas beliau, Kerajaan Sarawak sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk aktiviti intelektual yang menjurus kepada proses pemugaran budaya pengkaryaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Malah DBP Sarawak berjaya memayungi dan mengimarahkan segala usaha dan gerak kerja dalam misi dan visinya memartabatkan bahasa dan sastera, khususnya tentang kearifan tempatan untuk berada dalam arus bahasa dan sastera kebangsaan.
Pengarah DBP Sarawak, Abag Haliman Abang Julai pula memberitahu bahawa DBP Sarawak sentiasa tampil dengan pelbagai program bimbingan dan pemantapan, merangkumi bidang penulisan, bahasa, sastera dan penerbitan.
Usaha ini mendapat sokongan daripada Kerajaan Sarawak, sekali guas memperlihatkan kesungguhan dan iltizam kedua-dua pihak untuk menjunjung leluhur bahasa dan budaya di Sarawak khasnya, dan di Malaysia, amnya.
Sementara itu, melalui majlis ini DBP Sarawak memberi pengiktirafan, penghargaan dan hadiah untuk Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2021/2022, Hadiah Sastera Tunas Sarawak 2021/2022, Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2021/2022, Sayembara Penulisan Cerpen Kearifan Tempatan dan Citra Rakan Sinergi DBP.
Oleh HAINI DARANI