BERCAKAP tentang pengembaraan, selain perjalanan itu sendiri yang diambil kira, faktor lain yang saling melengkapinya ialah tempat penginapan dan makanan.
Daerah Kecil Oya adalah antara kawasan pedalaman yang menjadi tumpuan pengembara tempatan Sarawak kerana ia mempunyai premis makanan ala-masakan kampung dan moden yang telah mendapat tempat dalam kalangan penduduk tempatan dan pengunjung dari luar.
Bagi yang meminati pemandangan yang alam semula jadi seperti pantai, mereka memilih dua restoran yang berada di sekitar satu kilometer dari pekan tersebut.
Premis makanan yang dimaksudkan ialah Selera Hujung Kampung dan Puncak Saujana yang berada bersebelahan dengan satu sama lain di Pantai Kuala Oya.
Difahamkan sambutan pelanggan kepada kedua-dua premis ini memang sangat menggalakkan kerana juadah atau menu yang dihidangkan boleh dikatakan memenuhi citra rasa pelbagai peringkat usia.
Selera Hujung Kampung dan Puncak Saujana ini menjadi pilihan pengunjung untuk minum petang`High Tea’ mahupun makan malam dan tidak hairanlah kebelakangan ini ia menjadi buah mulut peminat makanan tempatan.
Dibuka daripada 3.00 petang hingga 10.00 malam, kehadiran pengunjung amat terserlah pada hujung minggu atau cuti umum lain.
Oleh kerana lokasi hanya sekitar 20 minit sahaja perjalanan darat dari Bandar Mukah atau 15 minit dari Pekan Dalat, masalah penginapan tidak timbul.
Menurut Hamdan Ali Basah yang membuka sebuah gerai di restoran tersebut ia bukan hanya menambat hati penduduk tempatan dan malah orang kenamaan juga berkunjung ke sana.
“Ia sentiasa dikunjungi ramai pelanggan terutama pada hujung minggu. Malah wakil rakyat kita sendiri iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komunit merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah juga bertandang ke sini,” ujarnya.
Beliau menyatakan selain menawarkan pelbagai jenis hidangan atau menu seperti masakan tradisional dan moden, lokasinya yang berada berdekatan dengan pantai adalah satu tarikan yang tersendiri buat pelanggannya.
“ Saya rasa selain makanan yang pelbagai jenis dari yang tradisional dan moden, lokasinya amat sesuai untuk bersantai sambil menikmati juadah juga mungkin menyebabkan restoran ini menjadi pilihan yang berkunjung ke sini,” ujarnya.
Adalah difahamkan kebanyakan mereka yang datang dari luar Daerah Kecil Oya, akan pergi berjalan-jalan di tepi pantai sebelum atau seseduah menikmati makanan di sana.
Oleh kawasan itu menghadapi Laut China Selatan, ada juga yang mengambil kesempatan itu untuk melihat matahari terbenam terutama jika cuaca cerah, dan seterusnya makan malam di Selera Hujung Kampung itu.
Mereka yang sering berkunjung ke sana adalah dari Daerah Mukah, Daerah Dalat dan juga dari Daerah Kecil Igan.
Selain itu, di pekan kecil ini ada juga beberapa buah premis makanan yang telah menempah nama dalam kalangan pengembara iaitu Premis Mee Udang, gerai-gerai di Oya Walk dan Oya Square, termasuk yang berada di Pekan Sabtu yang berada sekitar 500 meter dari Pekan Oya.
Kewujudan premis-premis ini menyediakan makanan masakan tradisional, masakan generasi terkini dan semestinya makanan laut, telah memberi `Umphh’ kepada status Daerah Oya sebagai salah satu destinasi `Jalan-Jalan Cari Makan’ terkemuka di kawasan Daerah Dalat dan Bahagian Mukah, amnya. Selain makanan, daerah kecil ini juga mempunyai beberapa lokasi tarikan Galeri Warisan Melanau, Pekan Sabtu, kilang kotej pembuat keropok dan juga pemandangan di Batang Oya, sungai-sungai dan dan keunikan Pekan Oya itu sendiri yang mengekalkan struktur asalnya.
Oleh HENRY B SIYU