KUCHING: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menganggap kekalahan pertamanya ketika menentang petarung dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat sebagai pembakar semangat dalam persediaan pertarungan akan datang.
Johan atau lebih dikenali sebagai ‘Jojo’ berazam untuk bangkit semula daripada kekalahan tersebut dan memperbaiki segala kekurangan dalam latihannya nanti.
Katanya, beliau sudah membuat latihan dan persediaan rapi sebelum menentang Nguyen namun faktor pengalaman dan gelanggang menjadi punca kekalahannya.
“Saya tidak mahu memberi alasan tetapi ini merupakan pertama kali saya berentap dalam gelanggang tersebut.
“Jadi, cara nak mendekati, menyepak dan tekanannya agak berbeza sedikit.
“Saya tidak pernah memandang rendah dengan Nguyen, tetapi saya memandang rendah dengan perbezaan gelanggang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini, malam tadi.
Jojo berkata beliau agak terkejut kerana rakyat Malaysia tetap memberi sokongan kepadanya meskipun tewas pada perlawanan itu.
“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Jojo memberitahu bahawa perlawanan akan datang kemungkinan akan dijadualkan pada September atau Oktober depan.
Selain itu, Jojo turut menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat dengan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 pada Ogos ini kerana memberi peluang kepada pelapis sukan tersebut.
“Salah seorangnya adalah adik saya, Miki (Mohammad Mikail Ghazali Zulfikar) akan berentap pada SUKMA nanti,” katanya.
Sabtu lepas, Jojo tewas kepada Nguyen dalam perlawanan ONE Championship 167 di Impact Arena, Bangkok.
Kekalahan pertamanya itu menyaksikan rekod tanpa kalah dalam enam pertarungan lebur selain terlepas peluang meraih bonus prestasi berjumlah AS$50,000 (RM235,332.68).
Oleh Mohd Neenatul Aizal