ISKANDAR PUTERI: Johor akan mewujudkan Johor Investment Company (JICO) di Singapura yang berperanan sebagai pemudahcara hubungan perdagangan di antara negeri itu dan republik tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata penubuhan JICO yang akan diusahakan segera itu juga bertujuan memperkukuh ekonomi rakyat dan pelaburan Johor bagi tempoh pasca Covid-19.
Malah, cadangan penubuhan JICO sudah dimaklumkan kepada Wisma Putra, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.
Beliau bagaimana pun menegaskan bahawa JICO tidak membabitkan pertindihan peranan dengan MITI dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia kerana penubuhannya mendapat persetujuan Wisma Putra.
“Kita akan membuka pejabat (JICO) di Singapura. Ia bukanlah pejabat yang berurusan dalam aspek diplomatik tetapi menjadi peluang untuk pihak berkuasa negeri ini mempertingkat hubungan dan kerjasama dalam semua aspek terutama teknikal dan pertukaran idea bagi manfaat kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan penggal persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ke-14 yang disempurnakan oleh Sultan Ibrahim, di Bangunan Sultan Ismail, di sini semalam.
Hasni turut menyifatkan pembukaan JICO di Singapura dapat memberi peluang kepada para penjawat awam Johor untuk menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran kerja di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh potensi negeri ini dalam menarik kehadiran pelabur asing.
Dalam perkembangan sama, Hasni berkata Johor juga kini dalam perancangan untuk mengembalikan dan mengukuhkan hubungan tiga segi antara Singapura, Malaysia dan Indonesia (SIJORI).
Menurut Hasni, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga secara dasarnya telah memberi persetujuan berhubung SIJORI dan perbincangan pertama antara tiga negara berkenaan akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri. – Bernama