Johnny Pang bakal bangkit 10 isu utama Bintulu pada sidang DUN

Facebook
WhatsApp
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming

BINTULU, 9 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming bakal membangkitkan 10 isu utama berkaitan pembangunan dan keperluan penduduk Bintulu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, isu berkenaan merangkumi infrastruktur, kemudahan awam dan perkhidmatan asas yang perlu diberi perhatian seiring pertumbuhan Bintulu sebagai pusat perindustrian dan ekonomi.

Antara isu yang akan dibangkitkan ialah peluasan projek mitigasi banjir ke kawasan perumahan berisiko, cadangan menaik taraf Jalan Tanjong Batu kepada jalan berkembar enam lorong serta usaha meningkatkan kecekapan operasi dan logistik Pelabuhan Bintulu.

Beliau turut akan meminta penjelasan mengenai langkah meningkatkan tekanan bekalan air dan cadangan pembinaan hospital kerajaan kedua di Bintulu bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.

Selain itu, Johnny Pang akan membangkitkan keperluan memperkukuh keupayaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bintulu untuk menangani kecemasan di bangunan tinggi.

Dalam aspek pengangkutan udara, beliau akan mendapatkan perkembangan mengenai usaha menambah kekerapan penerbangan antara Bintulu, Kuching dan Kota Kinabalu, selain menarik lebih banyak syarikat penerbangan serta memperluas pilihan perjalanan melalui perkhidmatan AirBorneo.

Dua lagi perkara yang akan diketengahkan ialah cadangan memperluas dan menaik taraf Perpustakaan Awam Bintulu, termasuk penambahan ruang pembelajaran, serta membangunkan kawasan tebing Sungai Kemena sebagai hab sukan dan rekreasi komuniti.

Isu pengurusan parkir awam di kawasan komersial yang menjejaskan kemudahan pelanggan dan pengunjung turut menjadi antara perkara yang akan dibangkitkan.

Johnny Pang berkata, pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam perlu seiring dengan pertumbuhan penduduk bagi memastikan keperluan masyarakat terus dipenuhi.

Persidangan DUN akan datang akan menjadi platform untuk mendapatkan penjelasan daripada kementerian berkaitan mengenai perancangan dan langkah menangani isu berkenaan.

Oleh Carolyne Utih