JKM Serian kesan ibu kandung, waris dua kanak-kanak perempuan

Facebook
WhatsApp
DUA kanak-kanak perempuan, Cecelia Anak Helena, 12, dan Candyilia Anak Helena, 10, yang sedang dikesan ibu kandung atau waris oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian. Foto JKM.

SERIAN: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada dua kanak-kanak perempuan bagi tujuan tindakan lanjut serta urusan kebajikan mereka.

Dua kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Cecelia Helena dan Candylia Helena, masing-masing dianggarkan berusia 12 dan 10 tahun.

Menurut kenyataan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian, kedua-duanya dijumpai pada 21 Julai lalu di Kampung Menjau, Batu 21, Jalan Kuching-Serian.

Menurut kenyataan itu, usaha mengesan ibu kandung atau waris turut diperlukan bagi urusan pendaftaran sijil kelahiran untuk penentuan kewarganegaraan, selain menilai bentuk penjagaan atau penempatan yang bersesuaian demi kepentingan kedua-dua kanak-kanak terbabit.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian memberi jaminan bahawa kerahsiaan ibu kandung atau waris yang tampil akan dilindungi.

Sehubungan itu, ibu kandung atau waris sah diminta menghubungi Pelindung, Elssie Robin di talian 082-892288 atau hadir sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian bagi urusan selanjutnya.

Kenyataan media berkenaan telah mendapat kebenaran Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Serian selaras dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.