KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama bagi mengadakan siasatan terhadap aktiviti Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB) di pusat penjagaan kanak-kanak di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Kuching iaitu Pusat Jagaan Nur Murni yang beroperasi sejak 2014, kini sedang dalam pemantauan.
“Apa yang berlaku ialah mereka ambil borang tetapi didapati borang itu tidak dikembalikan.
“Kita lihat dari segi rentetan peristiwa dan rekod yang ada di bawah JKM, mereka telah berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
“Bagaimanapun, sekarang ini kes tersebut dibawah siasatan polis. Jadi, kita biarkanlah pihak polis untuk menjalankan siasatan dan menjalankan kerja-kerja mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Perkampungan Sukan Para Sukma XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Fatimah berkata setakat ini tiada laporan mengenai kes tersebut tetapi pihak JKM akan memantau dari segi pendaftaran.
“Pusat jagaan kanak-kanak atau pusat jagaan warga emas mesti berdaftar sebab apabila berdaftar, ia akan membantu memastikan bahawa tempat itu selamat dijadikan pusat jagaan.
“Ini juga akan membantu kita untuk memastikan bahawa pematuhan itu akan berlaku sepanjang masa demi keselamatan anak-anak ini.
“Kita ada beberapa maklumat tapi kita tidak boleh beritahu, biarlah pihak polis nanti akan mendedahkannya. Kita sebahagian daripada agensi yang akan bekerjasama dengan pihak PDRM,” katanya.
Sebelum ini polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.
PDRM juga sudah membekukan 96 akaun milik syarikat terbabit bernilai lebih setengah juta ringgit.
Oleh Mohd Neenatul Aizal