KUCHING: Sekolah ditutup akibat jerebu bukan bermakna pendidikan terhenti, sebaliknya pembelajaran dari rumah (PdPR) boleh dilaksanakan, namun guru tidak seharusnya ditambah beban dalam keadaan krisis ketika ini.
Menurut Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Zulkiflee Sebli, dalam keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di Sarawak, tindakan pencegahan perlu dibuat lebih awal dan tidak bersifat reaktif.
“Keselamatan murid dan guru mesti menjadi keutamaan. Pembelajaran boleh disusun semula, tetapi kesihatan dan nyawa tidak boleh dipertaruhkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Sekiranya sekolah ditutup, beliau berkata beberapa langkah boleh dilaksanakan pihak sekolah bagi memastikan proses pembelajaran murid terus berjalan, antaranya:
- menyediakan bahan pembelajaran yang ringkas, fleksibel dan sesuai dengan keadaan murid;
- menggunakan platform digital sedia ada mengikut kemampuan sekolah dan murid;
- memberi keutamaan kepada kemahiran asas dan pembelajaran yang penting;
- mengambil kira murid yang mempunyai keterbatasan capaian internet atau peranti;
- memastikan komunikasi antara guru, murid dan ibu bapa sentiasa jelas;
- membuat penyesuaian terhadap jadual dan tugasan sekiranya tempoh penutupan berlanjutan; dan
- tidak mengejar sukatan pelajaran sehingga mengabaikan kesihatan serta kesejahteraan murid dan guru
Sementara itu, Zulkiflee berkata aspek keselamatan dan kesihatan murid serta guru perlu menjadi keutamaan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
“Sekiranya bacaan IPU di Serian melebihi 200, tindakan penutupan sekolah wajar dilaksanakan selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Tindakan tidak seharusnya menunggu sehingga kesihatan murid dan guru terjejas sebelum langkah pencegahan diambil.
“Bacaan melebihi 200 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dan mempunyai risiko kepada kesihatan, khususnya kepada kanak-kanak, individu yang mempunyai masalah kesihatan serta mereka yang terpaksa berada di luar dalam tempoh yang lama,” jelasnya.
Beliau turut menggesa agar ibu bapa juga perlu peka terhadap tahap kesihatan anak-anak yang mempunyai alahan terhadap jerebu, khususnya mereka yang menghidap asma.
“Jangan benarkan anak-anak yang mengalami simptom awal serangan asma hadir ke sekolah walaupun bacaan IPU di bawah 200.
Tegasnya, keputusan penutupan sekolah hendaklah dibuat secara pantas, jelas dan seragam bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pihak sekolah, guru, ibu bapa dan murid.
Jelasnya lagi, penutupan sementara enam buah sekolah dalam Daerah Tebedu kerana bacaan IPU telah mencecah 200 harus dipuji kerana JPN Sarawak peka kepada situasi semasa dan terkini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan guru supaya mengurangkan aktiviti luar bilik darjah, memantau keadaan kesihatan diri dan murid serta mematuhi arahan dan panduan pihak berkuasa.
Beliau turut menasihatkan murid supaya mengelakkan aktiviti luar ketika kualiti udara tidak sihat, menggunakan pelitup muka yang sesuai jika perlu berada di luar dan memastikan pengambilan air yang mencukupi.
“KGBS menggesa ibu bapa supaya tidak mendesak pihak sekolah meneruskan aktiviti atau kehadiran murid sekiranya keadaan IPU sudah berada pada tahap membahayakan.
“KGBS menyokong tindakan kerajaan dan KPM yang mengutamakan keselamatan serta kesihatan warga sekolah,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah





