Jerebu Sarawak berpunca daripada kebakaran tempatan, asap rentas sempadan dan cuaca kering – NRES

Facebook
WhatsApp
SERIAN dan TEBEDU antara kawasan di Sarawak yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat hari ini. Foto Bernama

KUCHING: Kemerosotan kualiti udara di Sarawak ketika ini dipengaruhi jerebu merentas sempadan serta kebakaran tempatan, dengan keadaan cuaca kering berpanjangan turut meningkatkan risiko kebakaran dan memburukkan keadaan jerebu.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), antara kebakaran tempatan yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara ialah kebakaran di tapak pelupusan sampah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu (SMC) serta kebakaran hutan dan belukar di Sri Aman.

“Kebakaran di tapak pelupusan sampah berkenaan dianggarkan melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar, manakala kebakaran hutan dan belukar di Sri Aman membabitkan anggaran kawasan seluas 100 hektar.

“Operasi pemadaman masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak dan mengurangkan kesannya terhadap kualiti udara.

“Pada masa sama, keadaan cuaca yang kering turut menjadi faktor yang meningkatkan risiko berlakunya kebakaran serta kejadian jerebu di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NRES mengulas lanjut, fenomena El Niño yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya ketika ini menyebabkan beberapa kawasan khususnya di selatan Semenanjung Malaysia serta bahagian barat dan selatan Sarawak menerima taburan hujan lebih rendah daripada purata.

“Keadaan itu, ditambah dengan suhu yang lebih tinggi, berpotensi meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu terutama di kawasan yang mengalami keadaan kering untuk tempoh panjang.

“Situasi jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos lalu itu kini turut dapat dilihat menerusi peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan Sarawak.

“Setakat 3.00 petang hari ini, 11 daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, termasuk lapan kawasan di Sarawak,” jelasnya.

Bacaan IPU tidak sihat di Sarawak:

  • Samarahan – 177
  • Kuching – 177
  • Sarikei – 161
  • Sri Aman – 158
  • Bintulu – 154
  • Miri – 152
  • Sibu – 135
  • Samalaju – 120
  • IPD Serian – 204, sangat tidak sihat.

Di luar Sarawak, tiga kawasan di Semenanjung Malaysia turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu;

  • Cheras, Kuala Lumpur (122), 
  • Putrajaya (121) 
  • dan Shah Alam, Selangor (112).

Selain faktor tempatan, NRES berkata kemerosotan kualiti udara di Sarawak turut dipengaruhi jerebu merentas sempadan berikutan keadaan kering yang berlaku di selatan rantau ASEAN.

Berdasarkan Peta Jerebu Serantau dan maklumat ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 12 Ogos, keadaan kering berlaku di selatan rantau ASEAN kecuali beberapa kawasan di bahagian utara Sumatera yang mengalami hujan.

Titik panas terpencil dikesan di bahagian tengah dan selatan Sumatera serta bahagian selatan dan timur Kalimantan, selain beberapa titik panas di Semenanjung Malaysia, Sarawak, Pulau Jawa dan Sulawesi.

Kepulan asap sederhana pula diperhatikan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, manakala kepulan asap ringan dikesan di bahagian selatan Sumatera.

Berdasarkan pemantauan satelit NOAA-20 pada 11 Ogos, sebanyak 12 titik panas dikesan di Malaysia, iaitu satu di Pahang dan 11 di Sarawak.

Pada masa sama, sebanyak 60 titik panas dikesan di Sumatera dan 354 titik panas di Kalimantan.

NRES menjelaskan, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan rantau ASEAN, kecuali bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera yang diramalkan mengalami hujan.

“Keadaan kering yang berpanjangan itu boleh menyebabkan peningkatan kejadian titik panas dan jerebu, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya jerebu merentas sempadan.

“Di peringkat ASEAN, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan pada 3 Ogos lalu perlu mengemukakan pelaporan harian serta tindak balas kecemasan berkaitan kejadian kebakaran dan jerebu yang melibatkan negara-negara di selatan rantau ASEAN iaitu;

  • Brunei
  • Indonesia
  • Malaysia
  • Singapura
  • Thailand 
  • dan Timor-Leste.

NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau serta melaporkan perkembangan terkini cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu dari semasa ke semasa.

Semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan juga akan melaksanakan tindakan berdasarkan tahap amaran di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK).

“Susulan cuaca panas dan kering serta jerebu, orang awam di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi.

“Orang awam juga dilarang melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu menjadi semakin buruk,” tegasnya.

Maklumat IPU rasmi boleh dirujuk melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar atau aplikasi MyJAS EQMS, manakala maklumat cuaca rasmi boleh diperoleh melalui laman sesawang MET Malaysia atau aplikasi myCuaca.