ISKANDAR PUTERI: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sarawak akan terus dilaksanakan mengikut kesesuaian pergerakan angin dan kedudukan awan bagi membantu mengurangkan keadaan jerebu di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaksanaan operasi berkenaan dibuat berdasarkan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“OPA terus dijalankan mengikut luruan angin dan awan itu berada. Kita mendapat nasihat daripada MetMalaysia untuk pembenihan awan dilakukan mengikut luruan angin,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di EduCity Sports Complex, di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Sarawak ketika ini berdepan fenomena jerebu dengan Kuching dan Sri Aman antara kawasan yang mencatatkan tahap amat tidak sihat.
Bagaimanapun Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keadaan jerebu di Sri Aman telah menunjukkan penurunan.
Beliau berharap OPA dapat terus membantu menurunkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) di Sarawak, khususnya menjelang sambutan Hari Malaysia di Kuching.
Sebanyak dua kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap amat tidak sihat setakat 8.00 pagi tadi dengan Kuching mencatatkan bacaan IPU 235 dan Sri Aman merekodkan bacaan 216.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) hari ini, 35 kawasan di lapan negeri dan tiga Wilayah Persekutuan mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat.
Khamis lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh bahagian Serian, berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.- Bernama





