TOKYO: Jepun membatalkan pelan kerajaan untuk mengesyorkan wanita Tokyo mengahwini lelaki dari luar bandar, kata pegawai negara matahari terbit itu, hari ini.
Cadangan yang sering diperlekehkan itu turut menyediakan insentif tunai dan tiket kereta api untuk ke acara jodoh berkenaan.
Media tempatan melaporkan, birokrat membayangkan insentif bernilai hingga 600,000 yen (RM17,861.67) bagi wanita berkahwin dan menetap di luar Tokyo sebagai sebahagian usaha mengurangkan jurang jantina di luar bandar.
Sementara itu, Menteri Penggiatan Wilayah, Hanako Jimi, berkata pihaknya sudah mengarahkan rancangan berkenaan ‘disemak semula’, selain menegaskan laporan mengenai jumlah insentif itu adalah “tidak benar”.
Media minggu ini, mendedahkan skim berkenaan dan ia mengundang kecaman di media sosial dengan pengkritik menyifatkannya sebagai tipikal bagi negara yang arena politik dan bidang lain dikuasai lelaki, menjangkaui mana-mana ekonomi perindustrian utama lain.
Seiring peningkatan usia, banyak kawasan luar bandar di ekonomi terbesar keempat dunia itu berdepan krisis pengurangan penduduk dengan beberapa bandar kecil hampir tidak memiliki atau tiada langsung kanak-kanak.
Antara punca dikenal pasti ialah lebih ramai wanita muda berbanding lelaki berhijrah ke bandar besar, terutama Tokyo untuk peluang pendidikan tinggi dan kerjaya lebih baik.
Lebih 40 peratus kawasan perbandaran di Jepun ‘berisiko lenyap’ akibat jangkaan penurunan bilangan wanita berusia 20-an hingga 30-an, menurut kajian panel pakar sektor swasta pada April lalu. – AFP
Gambar
Orang ramai menikmati minuman dan makanan di restoran pub izakaya di daerah beli-belah Ameyoko, di Tokyo