SIBU: Simulasi bencana perlu diperluas ke kawasan pedalaman bagi menguji kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi situasi bencana sebenar, terutama di lokasi yang mempunyai kekangan kemudahan dan akses.
Timbalan Residen Bahagian Sibu, Christopher Ranggau Unting berkata, simulasi yang dijalankan di kawasan dengan kemudahan lengkap dan akses mudah mungkin tidak sepenuhnya menggambarkan cabaran yang bakal dihadapi apabila bencana berlaku di kawasan sukar diakses.
“Justeru, pada masa akan datang saya berharap simulasi turut dilaksanakan di kawasan yang mempunyai kekurangan dari segi penginapan, kemudahan dan aksesibiliti supaya kita dapat melihat bagaimana semua agensi bertindak dalam keadaan sebenar,” katanya ketika merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS)berkenaan di Dewan MUC hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai penggunaan sistem pendaftaran mangsa melalui kod QR di PPS yang disifatkan penting bagi memastikan pengurusan data mangsa dapat dilakukan dengan lebih teratur.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima dalam satu mesyuarat di Kuching beberapa bulan lalu, pendaftaran mangsa di PPS sepatutnya dilaksanakan menggunakan kod QR, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pendaftaran secara manual.
“Apabila mangsa tiba di pusat pemindahan, mereka hanya perlu mengimbas kod QR dan tidak lagi perlu membuat pendaftaran secara manual.
“Kita perlu melihat sejauh mana sistem ini berjaya dilaksanakan kerana data pendaftaran itu penting, termasuk bagi tujuan penyaluran bantuan kepada mangsa,” katanya.
Christopher berkata, selain aspek pendaftaran, pembahagian tugas dan bidang kuasa setiap agensi juga perlu diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan ketika berdepan situasi sebenar.
“Kita tidak seharusnya menganggap simulasi sebagai satu permainan. Simulasi perlu menggambarkan situasi sebenar dan menguji sejauh mana kita mampu bertindak apabila berdepan bencana
“Banyak perkara yang kita fikir tidak sepatutnya berlaku, tetapi akhirnya berlaku apabila berdepan situasi sebenar. Sebab itu simulasi amat penting bagi mengenal pasti kelemahan, memperjelas tanggungjawab dan memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing,” katanya.
Oleh Tarani Lanting





