
KUCHING: Jenayah komersial di Sarawak mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 53.59 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sekali gus menuntut pendekatan penguatkuasaan lebih agresif dan berfokus oleh pihak polis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebanyak 1,304 kes direkodkan dari 1 Januari hingga 31 Mac 2026 berbanding 849 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan sebanyak 455 kes itu menunjukkan jenayah komersial khususnya jenayah siber semakin berleluasa dan memberi kesan besar kepada masyarakat.
“Penyumbang utama peningkatan ini adalah penipuan atas talian seperti e-dagang, pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan palsu serta phone scam.
“Modus operandi semakin licik dengan menggunakan teknologi dan platform digital untuk memperdaya mangsa tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, jumlah kerugian akibat jenayah komersial turut meningkat kepada RM42.6 juta berbanding RM33.8 juta tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak RM8.7 juta atau 25.83 peratus.
Katanya, penipuan pelaburan mencatatkan jumlah kerugian tertinggi iaitu RM25 juta melibatkan 199 kes, diikuti phone scam (89 kes, RM5.7 juta), pinjaman tidak wujud (214 kes, RM1.5 juta), e-dagang (272 kes, RM1.4 juta) dan penipuan tawaran pekerjaan (73 kes, RM1 juta).
Dalam usaha membendung jenayah tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak telah memperhebat operasi berfokus dengan 508 tangkapan direkodkan sepanjang tahun ini dan kesemuanya telah dituduh di mahkamah.
Tambah beliau, antara kejayaan utama termasuk menumpaskan sindiket ‘calling centre’ yang menggunakan aplikasi komunikasi, laman sesawang serta peralatan sim box untuk menjalankan penipuan melibatkan mangsa tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, polis turut membongkar sindiket penjualan kad ATM di Kuching dan Padawan, sindiket pinjaman wang tanpa lesen di Sibu serta penipuan permainan dalam talian,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, statistik jenayah indeks menunjukkan penurunan sebanyak 262 kes atau kira-kira 21 peratus bagi tempoh sama, mencerminkan keberkesanan usaha pencegahan dan penguatkuasaan berterusan.
Namun begitu, beberapa kes jenayah kekerasan menunjukkan peningkatan termasuk kes bunuh, rogol dan samun berkawan bersenjata.
Sepanjang tempoh itu, seramai 2,117 individu telah ditangkap melibatkan pelbagai kes jenayah, dengan 516 daripadanya didapati positif dadah
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak mencatatkan 4,902 tangkapan berkaitan dadah sehingga 12 April 2026, meningkat 38.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Nilai rampasan dadah pula melonjak kepada RM31.2 juta berbanding RM3.1 juta sebelum ini, menunjukkan peningkatan hampir 900 peratus.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan penyalahgunaan dadah dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada pelbagai bentuk jenayah lain, justeru tindakan tegas akan terus diperkukuh.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh cabaran keselamatan semasa susulan ketegangan geopolitik dunia yang memberi kesan kepada ekonomi dan harga minyak global.


Katanya, situasi tersebut meningkatkan risiko jenayah ekonomi seperti penyeludupan diesel dan penyelewengan barang subsidi, sekali gus memerlukan pemantauan rapi oleh pihak polis.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi rakyat,” tegasnya.
Beliau turut menggesa semua pegawai dan anggota agar terus mengamalkan profesionalisme, disiplin serta pendekatan berhemah dalam berdepan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Oleh Norman B