
ASAJAYA: Ancaman penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan memerlukan tindakan bersepadu seluruh masyarakat, justeru Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Bahagian Samarahan tampil sebagai medan memperkukuh benteng komuniti daripada terus dibelenggu gejala tersebut.
Timbalan Residen Samarahan, Rais Ahmad yang mewakili Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, program itu digerakkan menerusi tiga komponen utama yang bukan sahaja menekankan aspek pencegahan, malah menyuntik harapan baharu kepada individu yang pernah terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, pendekatan pendidikan, advokasi dan interaksi sosial secara langsung di peringkat akar umbi menjadi antara fokus utama dalam usaha membina komuniti yang lebih peka, berdaya tahan dan berani menolak pengaruh dadah.
“Program ini turut mengangkat klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang sedang menjalani Program Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) sebagai duta perubahan dan suri teladan positif kepada masyarakat.
“Pada masa sama, kehadiran agensi penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi dipertingkatkan bagi membendung aktiviti penyalahgunaan dadah, sekali gus memperkukuh rasa selamat dan ketenteraman awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Bahagian Samarahan di Dewan Kampung Tambirat, di sini.

Program berkenaan dianjurkan oleh AADK Negeri Sarawak bersama AADK Daerah Samarahan dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Asajaya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan Persatuan Wanita Pan-Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA) Cawangan Sarawak.
“Melalui integrasi Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Daerah Samarahan, kita bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama, malah meningkatkan kesedaran awam, membentuk komuniti yang proaktif dalam intervensi awal serta mengurangkan stigma terhadap bekas penagih,” katanya lagi.
Usaha membanteras dadah tidak boleh digalas satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan padu keluarga, komuniti serta agensi berkaitan demi memastikan generasi masa depan tidak terus hanyut dalam kancah penagihan.
Oleh Norman B