JUARA Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan cabaran saingan musim ini dengan rekod tanpa kalah selepas merakam kemenangan kesembilan apabila membelasah Melaka 5-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka malam semalam.
Dalam pertembungan tersebut, pesta gold JDT bermula pada 20 minit terakhir perlawanan apabila pemain import dari Argentina Leandro Velazquez tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 sekali gus memecah kebuntuan gol.
Jaringan pembukaan itu disusuli dengan gol kedua JDT empat minit kemudian menerusi Muhammad Syafiq Ahmad yang bijak melepasi perangkap ‘offside’ sebelum Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak menanduk masuk gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-79.
Menghampiri masa penuh, Melaka yang seakan hilang arah terus dibolosi dua gol dalam tempoh lapan minit yang menyaksikan Fernando Rodriguez meledak gol keempat pada minit ke-85 sebelum Gonzalo Cabrera melengkapkan malam gemilang sang juara dengan jaringan di akhir permainan.
Pada masa sama, Selangor mencatat kemenangan kedua terbesar mereka musim ini setelah menumpaskan Felda United 6-1 di Stadium UiTM, Shah Alam, sekali gus menyaksikan Felda United menamatkan saingan musim ini di kedudukan kedua tercorot.
Pemain import Ifedayo Omosuyi meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-45, minit ke-62 dan minit ke-88 sekali gus mendahului senarai penjaring terbanyak dengan mengumpul 12 gol, meninggalkan pencabar terdekat iaitu penyerang Perak Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dengan perbezaan dua gol.
Tiga gol Selangor lagi dijaringkan pemain tengah Brendan Gan seawal minit keempat dan Sandro da Silva yang menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-70 sebelum meledak gol kedua peribadinya lapan minit kemudian. Muhammad Daniel Amier Norhisham menjaringkan gol tunggal pelawat pada minit ke-33.
Dalam pada itu, dua jaringan Washington Brando membantu Petaling Jaya (PJ) City FC mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Pemain import dari Brazil itu memecah kebuntuan gol pada minit ke-42 sebelum bekas penyerang kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-55 diikuti jaringan ketiga oleh R Kogileswaran pada minit ke-66 meletakkan PJ City FC selesa mendahului 3-0.
Brando menjaringkan gol keduanya pada minit ke-70 dan PDRM berjaya mendapatkan gol sagu hati menerusi pemain import Serdar Geldiyev pada minit ke-81.-Bernama