NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meneruskan lagi operasi sanitasi di beberapa lokasi sekitar Kuching, Miri dan Bintangor.
Penolong Pengarah Operasi Negeri, Tiong Ling Hii berkata, setakat jam 3.30 petang semalam, pihaknya telah menjalankan sebanyak 521 kerja sanitasi yang bermula sejak 30 Mac lalu.
“Untuk kawasan Kuching, operasi dilaksanakan di CHKMUS-MAA Medicare Kidney Charity Dialysis Centre dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Hotel Pullman & Resort.
“Manakala di Miri di Pejabat Tanah dan Ukur Miri dan Bintangor (Dewan Masyarakat Pakan).
“Turut dilakukan proses disinfeksi bas membawa pulang pelajar IPT Bahagian Kuching,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya, antara premis yang disanitasi ialah 60 pasar awam, 52 tempat perhimpunan, 103 tempat ibadat, 156 di bangunan kerajaan, 63 kenderaan pengangkutan, 35 kawasan perumahan, 32 di pasar raya, 18 hotel dan dua di kilang.
Sementara itu, jumlah operasi yang telah dijalankan mengikut daerah ialah sebanyak 178 di Kuching, Miri (104), Sarikei (35), Kota Samarahan (28), Limbang (39), Sibu (18), Betong (15), Bintulu (43), Sri Aman (25), Serian (12), Kapit (19 ) dan Mukah (5).