ADENG EDRUS
LAWAS: Rakyat perlu menjauhkan diri daripada politik ekstrem yang menakut-nakutkan rakyat, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Katanya, ketika pilihan raya banyak propaganda disebarkan untuk menakutkan dan menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan memerintah.
Oleh itu, Timbalan Premier Sarawak mengingatkan pengundi termasuk di kawasan Parlimen Lawas supaya mengawasi propaganda politik menakut-nakutkan rakyat.
“Kita lihat saja pada PRU ini bila mana pihak pembangkang akan kembali dengan politik menakutkan rakyat dan memecah belahkan mereka semata-mata untuk meraih sokongan,” katanya pada Program ‘Pemung, Peruyud, Petuuh’ anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS) di Kampung Long Tuan Ulu Trusan di sini semalam.
Program berkonsepkan makan tengahari bersama rakyat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Kepada Premier Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pemangku Pengarah UKAS Samuel Simon, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
Awang Tengah berkata, pelbagai isu timbul seperti mengenai tanah adat, kemudahan untuk rakyat dan perkara utama membabitkan perjuangan GPS dalam menegakkan hak-hak Sarawak dan rakyat Sarawak.
Namun katanya, rakyat tidak dapat bergantung kepada pelbagai harapan palsu pembangkang yang terbukti gagal membela hak Sarawak sepanjang 22 bulan mereka memerintah dibawah kerajaan Pakatan Harapan(PH).
Pada masa sama, katanya, pemimpin Sarawak yang berada dalam Kabinet PH juga gagal bersuara untuk mendapatkan lebihan dana bagi pembangunan Sarawak.
Sebaliknya rakyat Sarawak berasa perit apabila banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat Sarawak dibatalkan kerajaan PH ketika itu.
“Sekarang puak-puak ini muncul semula dengan propaganda memecah-belah rakyat melalui politik perkauman, agama dan pelbagai isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan rakyat Sarawak,” katanya.
Awang Tengah meminta agar masyarakat kampung di luar bandar memahami perkara ini demi kesejahteraan dan keselamatan bersama.
Majlis berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil masyarakat daripada sepanjang Batang Trusan dan Ulu Trusan.