
LAWAS: Pasukan Jangkanya (Lawas) muncul juara Kejohanan Gasing Tradisi Santai Aidilfitri anjuran Persatuan Gasing Tradisi Lawas yang berlangsung di Gelanggang Gasing Kampung Batu Dua, baru-baru ini.
Pasukan SBS Langgar, yang merupakan gabungan pemain dari Brunei, Sabah dan Sarawak, meraih tempat naib juara, manakala tempat ketiga dikongsi oleh dua pasukan iaitu Jangkanya X-File (Lawas) dan Impas Kaas B (Merapok).
Dalam acara gurau individu, Bruno dari Pasukan Jangkanya, Lawas, dinobatkan sebagai juara. Tempat kedua dimenangi oleh Nodin (KSGT A, Lawas) manakala tempat ketiga menjadi milik Jiking (Jangkanya, Lawas).
Sebanyak 22 pasukan dari Sabah, Brunei Darussalam dan Lawas telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini, menjadikannya antara acara sukan tradisional yang paling meriah diadakan sempena Aidilfitri tahun ini.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan para peminat sukan gasing, malah turut memperkukuhkan hubungan silaturrahim dalam kalangan komuniti pelbagai latar belakang.
Oleh Adeng Edrus