PADAWAN: Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William memberi amaran tegas kepada ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram sebelum tragedi berlaku sehingga mengundang penyesalan.
Beliau melahirkan rasa kecewa apabila mendapati kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui anak mereka terlibat dalam kegiatan mat rempit akibat kurang pemantauan.
Menurutnya, ibu bapa perlu lebih berwaspada dan mengambil tahu mengenai pergerakan anak-anak, terutama sekiranya mereka memiliki atau menggunakan motosikal.
Barry berkata, kebanyakan individu yang terlibat dalam kegiatan itu terdiri daripada golongan remaja yang mahu menunjukkan keberanian tanpa menyedari tindakan tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah anggota polis ketika operasi penguatkuasaan dijalankan.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, seramai 17 pelumba haram ditahan manakala 42 motosikal disita menerusi 16 operasi di bawah Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan di Daerah Padawan.

Dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Sarawak, Barry berkata operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan lumba haram serta aktiviti berbahaya lain di jalan raya.
“Dari Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 17 individu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala 42 motosikal disita mengikut Seksyen 60 akta sama,” katanya.
Menurutnya, bagi Ogos sahaja, polis menjalankan tiga operasi yang membawa kepada penahanan seorang individu dan penyitaan 12 motosikal.
Katanya, kesemua 17 individu yang ditahan mengikut Seksyen 42 APJ 1987 berusia antara 15 hingga 21 tahun.
Daripada jumlah itu, sembilan merupakan pelajar, lima bekerja di sektor swasta manakala tiga lagi tidak bekerja.
Seramai 14 daripada mereka telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987.
Setakat ini, kesemua individu yang ditahan adalah lelaki dan tiada wanita terbabit.
Barry berkata, polis akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan bagi mencegah kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau berkata, pada bulan ini, dua penunggang motosikal turut ditahan kerana disyaki melakukan aksi tunggangan berbahaya ketika operasi membanteras lumba haram.
“Dalam operasi di sepanjang Jalan Matang, enam motosikal dan enam individu diperiksa, manakala tujuh saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan motosikal,” katanya.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi mencegah kegiatan lumba haram dan aksi tunggangan berbahaya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas.
“Ibu bapa diingatkan supaya memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak, khususnya mereka yang menunggang motosikal.
“Jangan biarkan mereka terlibat dalam lumba haram atau menunggang secara melulu dan berbahaya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menunggu sehingga sesuatu yang buruk berlaku sebelum mengambil tindakan.
“Jangan tunggu sehingga terlambat. Pantau, nasihati dan didik anak-anak anda. Nyawa mereka jauh lebih berharga daripada keseronokan untuk beberapa minit,” tegasnya.
Barry berkata, individu yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, dipenjarakan sehingga lima tahun serta hilang kelayakan memegang lesen memandu.
Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM20,000 dan dipenjarakan sehingga 10 tahun.
Oleh Connie Chieng




