
PETRA JAYA: Gangguan dan pembatalan penerbangan yang berlaku ketika ini bukan hanya melibatkan AirBorneo, sebaliknya turut dialami syarikat penerbangan lain di negara ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan AirBorneo semata-mata kerana masalah sama turut berlaku dalam industri penerbangan secara keseluruhan.
“Saya sendiri berdepan situasi apabila dua individu dari Kuala Lumpur gagal menghadiri satu mesyuarat di Sarawak selepas penerbangan mereka dibatalkan.
“Saya ada mesyuarat semalam yang melibatkan peserta dari Kuala Lumpur, tetapi mereka tidak dapat datang kerana penerbangan dibatalkan.
“Penerbangan mereka ditunda sehingga Sabtu. Jadi perkara ini bukan hanya berlaku kepada AirBorneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media Festival dan Simposium Koir Antarabangsa Sarawak (SICFest & Sym) 2026 di Baitulmakmur II, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata AirBorneo yang baru memulakan operasi memerlukan masa untuk mengembangkan perkhidmatannya.
Katanya, syarikat penerbangan milik Sarawak itu masih mempunyai bilangan pesawat yang terhad dan sedang melalui proses pembangunan operasi.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan alasan penyelenggaraan yang sering diberikan oleh syarikat penerbangan bagi menjelaskan pembatalan atau perubahan jadual penerbangan.
“Kemungkinan terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada situasi tersebut termasuk peningkatan kos operasi dan bahan api.
“Saya berharap isu gangguan penerbangan dapat ditangani dengan baik bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang serta tidak menjejaskan sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya.
Baru-baru ini AirBorneo mengesahkan beberapa penerbangan di Sabah dan Sarawak mengalami kelewatan serta pembatalan sejak 5 Jun lalu susulan gabungan faktor termasuk penyelenggaraan pesawat, kerja pembaikan teknikal tidak berjadual serta keperluan operasi dan kru.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan memaklumkan gangguan berkenaan dijangka berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang ketika beberapa pesawat sedang menjalani penyelenggaraan dan kerja pembaikan serentak.
Oleh Masrin Affirah