KUCHING: Pakatan Harapan (PH) khususya DAP jelas sama sekali tidak yakin untuk memenangi kerusi Parlimen mereka di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Pengerusi Publisiti dan Perhubungan Media Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Idris Buang berkata ini berikutan kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen semalam yanhg boleh dikira sebagai kenyataan ‘putus asa’ yang tidak mempercayai diri sendiri.
Chong sebelum ini meminta rakyat Sarawak supaya tidak memberi kuasa mutlak kepada GPS, sebaliknya mengukuhkan sistem semak dan imbang di Parlimen.
“GPS menghormati setiap undian. Kami menghargai sokongan padu daripada semua pengundi Sarawak dan menganggapnya sebagai isyarat perpaduan dan kesatuan.
“Chong memberi kenyataannya tanpa mengira sama ada rakyat percaya kepada DAP dan Pakatan Harapan (PH) atau tidak.
“Tegurannya terutama mengenai cara terbaik untuk mengukuhkan Sarawak bukanlah dengan memberikan kuasa mutlak kepada GPS adalah sejenis hasutan yang menghina kecerdasan pengundi Sarawak,” katanya dalam kenyataan media pagi ini.
Idris berkata ia jelas menghina dan manifestasi mentaliti DAP/PH yang mementingkan diri sendiri.
“Pakatan Harapan telah terbukti melalui 22 bulan mereka menerajui, sebagai kerajaan yang gagal. Mereka telah gagal memenuhi banyak janji mereka.
“Manifesto mereka ‘bukan janji … bukan kitab suci’ masih kendengaran. Mereka telah gagal berkhidmat untuk Sarawak apabila diberi peluang dan banyak projek pembangunan sama ada tertangguh atau dibatalkan.
“Di samping semua kegagalan itu, mereka telah menghina rakyat Malaysia terutamanya B40, dengan e-Dompet RM30 yang menggelikan seolah-olah mereka tidak mempunyai idea yang lebih baik.
“Mereka juga menghina Sarawak dengan mandakwa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun. Kata-kata mereka yang terlalu yakin dan angkuh menghina Sarawak kini masih ada untuk ditelan sendiri,” katanya.
Idris turut menggesa pengundi di negeri ini untuk mengekalkan fikiran rasional mereka bagi merangsang kekuatan dan keyakinan GPS apabila mengambil bahagian dalam Kerajaan Persekutuan kerana sumbangan GPS dalam membentuk dasar pasti sesuai untuk Sarawak dan Malaysia.
“Ini akan menambah semangat kepada kerajaan negeri yang sudah cemerlang di bawah tampuk kepemimpinan Premier Sarawak bagi melonjak usaha Sarawak pada landasan yang betul untuk berjaya.
“Tambahan pula, Chong dan DAP kekurangan kredibiliti untuk bercakap mengenai usaha memperjuangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Lihat saja dalam tempoh 22 bulan (PH) memimpin, semua yang mereka lakukan ialah perubahan kosmetik pada Perlembagaan Persekutuan (konon) sebagai usaha untuk menarik perhatian rakyat Sarawak.
“Rakyat Sarawak kini sepatutnya lebih mengenali siapa DAP. Kami dengan rendah hati menggesa semua pengundi Sarawak untuk keluar mengundi GPS bagi memberikan balasan yang terbaik untuk Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan.
“Tolong jangan dengar “serigala menangis” atau kata-kata sindiran dan ketakutan (DAP),” katanya.
Idris berkata, GPS adalah satu-satunya gabungan yang berkebolehan dan bertanggungjawab yang boleh membawa kemajuan yang amat diperlukan untuk rakyat Sarawak.
AZREEN KERIA