WARNA WARNI…Antara produk tenun yang telah dihasilkan Janetta Ngumbang.
Pernah ditolak ketika memohon untuk belajar bertenun, seorang wanita tidak putus harapan demi menyambung tradisi menenun pua yang diwarisi secara turun temurun agar tidak hilang ditelan arus pemodenan.
Mengusahakan perniagaan berasaskan tenunan pua masyarakat Iban selama 19 tahun sejak 2003, pembuatan pelbagai jenis tenun bukan suatu kerja yang mudah kerana memerlukan ketelitian dan kemahiran menenun yang tinggi.
‘Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, Janetta Ngumbang, 43 kekal komited dalam mempelajari teknik bertenun yang kini kerja tersebut menjadi lubuk rezeki buatnya.
“Sejak 2003, jumlah kain tenun yang saya hasilkan sudah mencecah melebihi 100 helai memandangkan saya sentiasa mendapat tempahan dari pelanggan yang berminat untuk menempah hasil tenunan saya.
“Meskipun jualan saya belum mencecah sehingga ke peringkat luar negara, saya bersyukur kerana tempahan yang saya terima tidak pernah putus daripada pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, Janetta berpendapat para penenun juga perlu lebih kreatif dalam menghasilkan kepelbagaian produk agar ia sentiasa relevan untuk digunakan.
Jelasnya lagi, kepelbagaian produk yang dihasilkan bakal menarik minat orang ramai untuk membelinya sekali gus memastikan motif tenunan Iban akan terus lestari penggunaannya dalam dunia fesyen di negara ini khususnya di negeri Bumi Kenyalang.
“Selain menghasilkan tenunan Iban sebagai kain pua, ia juga boleh ditenun untuk menghasilkan pelbagai produk seperti beg tangan, baju atau pakaian, kasut dan sebagainya.
“Kain tenun pua sememangnya masih diminati orang ramai namun dengan mempelbagaikan jenis produk, sudah semestinya ia membuka ruang bagi pasaran yang lebih besar,” ujar ibu kepada tiga orang anak tersebut.
Tidak kekok untuk berkongsi ilmu, Janetta berkata segelintir penenun masih mempercayai pantang larang dalam bertenun terutamanya melibatkan motif yang ‘tinggi’ peringkatnya.
Kongsi beliau, antara motif yang tidak boleh ditenun sesuka hati adalah seperti motif manusia, binatang (jelu), hantu (antu) dan jenis bermotifkan tumbuhan liar di dalam hutan (kayu babas).
“Sekiranya mereka tidak mendapat ‘arahan’ daripada kuasa-kuasa luar biasa atau antu menerusi mimpi maka corak motif tersebut tidak boleh ditenun sesuka hati. Sekiranya mereka telah mendapat mimpi, maka mereka perlu mengadakan ritual miring sebelum mula menenun corak tersebut.
“Andai kata mereka mengabaikan pantang larang ini, mereka akan jatuh sakit atau alah ayu, enda tan bulu dan bahkan boleh meragut nyawa,” jelasnya lagi.
Oleh RYNNA SHA’ERRA