RUANG depan UNIMAS Learning Centre.
UNIVERSITI Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus komited dalam memberikan perkhidmatan
pendidikan tinggi yang terbaik dengan melebarkan sayap melalui pembukaan pusat
pembelajaran di Subang Jaya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif UNIMAS Business School, Prof. Dr.Puah Chin Hong, setakat ini UNIMAS mempunyai empat pusat pembelajaran di Sibu, Miri, Kota Kinabalu dan terbaharu di Subang Jaya. UNIMAS Kuala Lumpur Learning Centre ini telah beroperasi sepenuhnya pada 2 Ogos 2022 yang lalu.
Grand International Academy sebagai rakan strategik UNIMAS, bertanggungjawab mengendalikan pusat pembelajaran di Subang Jaya ini dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti serta infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.
Kursus-kursus yang ditawarkan mendapat akreditasi penuh daripada pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Terdapat dua program yang ditawarkan iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Bachelor of Business Administration with Honours) dan Sarjana Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia (Master of Science in Human Resource Development).
Fasiliti yang lengkap sangat dititikberatkan untuk mewujudkan suasana pembelajaran kondusif dengan penyediaan lima buah bilik kelas yang dapat memuatkan sehingga 50 pelajar, ruangan rehat, perpustakaan mini, sudut perbincangan, kemudahan akses Wi-Fi berkelajuan tinggi secara percuma dan ruangan pantri yang luas.
Selain itu, tenaga pengajar bagi kursus lepasan Ijazah ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pensyarah dari UNIMAS dan kelas diadakan pada hujung minggu sahaja.
Jadual kuliah yang efektif ini membuka peluang kepada individu yang bekerja untuk merancang masa tanpa mengganggu waktu bekerja dan sangat fleksibel.
Bahkan, kepakaran dari industri juga diguna pakai di pusat pembelajaran ini dan pihak pengurusan sentiasa menekankan aspek keselesaan selain lokasi Subang Jaya yang strategik dan akses kemudahan fasiliti yang lain sangat mudah didapati.
Sememangnya pembukaan UNIMAS Kuala Lumpur Learning Centre memberi peluang kepada pelajar yang berada di Semenanjung untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Master dan PHD melalui kursus-kursus strategik yang disediakan oleh UNIMAS tanpa perlu datang ke kampus utama di Sarawak.
“Lokasi yang strategik sekitar Subang Jaya memberikan kredit kepada mereka sebagai pilihan utama pelajar dan akses kemudahan di kawasan ini seperti LRT, kedai makan dan sebagainya selain kawasan ini diiktiraf kawasan akademik menjadikan lokasi sekitar ini menyediakan fasiliti yang terbaik.
“Keduanya, fasiliti yang kondusif di pusat pembelajaran ini sendiri memberikan keselesaan kepada semuanya,” kata Pengarah Grand International Academy, Datuk Dr. Wong Say Ho.
UNIMAS juga merancang untuk menawarkan lebih banyak kursus pengajian lepasan Ijazah pada masa akan datang dengan mengambil kira kapasiti tenaga pengajar yang sedia ada di universiti serta memperbanyakkan penawaran kursus jangka pendek yang lain kepada individu yang berkeperluan.
Diharapkan dengan pembukaan UNIMAS Kuala Lumpur Learning Centre menjadi penggerak sokongan kepada kapasiti UNIMAS sebagai universiti awam untuk merancakkan bidang pendidikan dan penawaran kursus jangka pendek terutama di kawasan Semenanjung Malaysia. – UNIMAS