KABONG: Penduduk Rumah Panjang Ayum Plassu menarik nafas lega apabila projek bina baharu jambatan rumah berkenaan bakal siap sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan.
Jambatan yang sebelum dibina baharu itu sudah digunakan hampir 20 tahun lalu dan telah dibina melalui peruntukan dibawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata sejumlah RM250,000 diperuntukkan dibawah peruntukan RTP bagi membina sebuah jambatan di rumah terbabit yang akan siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Jelasnya jambatan itu dibina bagi menggantikan jambatan kayu yang telah uzur dan boleh membahayakan nyawa pengguna kerana berisiko runtuh pada bila-bila masa.
Menurut Chee, pembinaan infrastruktur itu memperlihatkan keprihatinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap keperluan penduduk pedalaman dan luar bandar di negeri ini.
“Justeru, pembinaan jambatan baharu ini tentunya memberi kelegaan kepada penduduk setempat serta sekitar kampung di situ.
“Jambatan baharu ini bakal memberi manfaat kepada penduduk di sini serta merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan sumber pendapatan masyarakat di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau amat yakin projek ini memberi keselesaan kepada penduduk di sekitar rumah panjang ini, tidak hanya membabitkan pembinaan jambatan ini, malah projek-projek lain.
“Penduduk cukup bertuah kerana mendapat kemudahan ini dan harus berterima kasih kepada kerajaan GPS yang menyediakannya,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Chee Kadir berkata Kerajaan Sarawak tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam memberi projek pembangunan di kawasan Kabong.
Katanya semua kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong akan menerima projek pembangunan, tidak ada istilah pilih kasih dalam memberi sesuatu bantuan atau projek pembangunan kepada satu-satu kawasan sahaja.
Dalam pada itu, kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan jambatan baharu itu ialah Syarikat Blessed Pinnacles dan pembinaan akan bermula 8 Januari lalu, dan dijangka siap 25 Jun nanti.
Rumah Panjang Ayum Plassu mempunyai 28 buah pintu dan penghuninya seramai 180 orang.
Oleh ADI SAFARMAN