MIRI: Projek pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Miri dengan Marudi dijadualkan siap dan boleh digunakan sebelum perayaan Hari Krismas tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan itu kelak akan menggantikan perkhidmatan feri sedia ada, di samping memudahkan akses penduduk di kawasan utara Sarawak dengan lebih selesa dan lancar.
Menurutnya, projek infrastruktur ini bukan sekadar memenuhi keperluan pengangkutan, malah sebagai bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa kehidupan rakyat, terutama di kawasan pedalaman.
“Dengan ada jambatan ini, kita akan lebih mudah untuk berhubung dengan saudara-mara di Marudi dan Baram tanpa perlu bergantung kepada feri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival makanan ‘Taste of Borneo 3.0’ 2024 di pekarangan tempat letak kereta Pusat Beli-Belah Boulevard Miri malam tadi.
Abang Johari juga menyatakan rancangan jangka panjang kerajaan Sarawak untuk membina jalan baharu yang akan menghubungkan Miri hingga ke Long Terawan dan seterusnya ke Limbang, melalui kawasan di luar Tapak Warisan Dunia UNESCO di Mulu.
Laluan strategik ini katanya, dapat dihubungkan terus ke negara Brunei Darussalam dengan mewujudkan rangkaian jalan bulatan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi tempatan, malah bakal menarik lebih ramai pelancong ke kawasan utara Sarawak.
Menyentuh mengenai rancangan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan milik sendiri dalam masa terdekat pula, beliau berkata tujuan utamanya adalah untuk menyediakan laluan penerbangan langsung ke destinasi utama di Sarawak termasuk Miri, Mulu dan Niah, sekali gus meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke wilayah ini.
“Inisiatif ini diharapkan dapat merangsang sektor pelancongan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
“Dengan perhubungan yang semakin baik, kita mampu memajukan Sarawak sebagai destinasi unggul dan memberikan kemakmuran yang seimbang kepada seluruh rakyat,” tambahnya.
Karnival makanan Taste of Borneo 3.0 dengan tema ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ yang berlangsung selama 12 hari bermula 30 Oktober hingga 10 November ini menampilkan kepelbagaian makanan serta kebudayaan untuk tatapan pengunjung.
Terdapat 19 persatuan etnik dan kaum di sini mengambil bahagian menjual pelbagai juadah enak dan istimewa untuk dinikmati bersama.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam) Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman. – Edisi UKAS