



SIMANGGANG: Jambatan Batang Lupar II di sini, yang dijangka siap pembinaannya pada Jun tahun depan, bakal menjadi jambatan kabel tertinggi di negara ini.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berharap jambatan ikonik yang di bina di Bandar Simanggang itu akan menjadi mercu tanda baharu yang bakal mencatat rekod sebagai jambatan kabel tertinggi di Malaysia apabila siap kelak.
“Ini sudah tentunya menjadi kebanggaan Sri Aman dan rakyat Sarawak.
“Dengan rekod baharu ini, ia dijangka dapat menarik ramai pelancong serta pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman melaluinya dan merakam pemandangan indah dari sudut terbaik berlatarbelakangkan benak Batang Lupar yang sinonim dengan buaya Bujang Senang.
“Jangan lupa mengingati beberapa nama buaya yang sinonim dan terkenal di sini seperti Seduku Putih, Dayang Entulang, Stirau Setia Menanti, Bujang Skra Berani, Bijat Pahlawan Perkasa dan Kodek Si Jinak di Dermaga Kampung Pulau Seduku,” katanya.
Mahra berkata, semasa sesi taklimat bersama Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) serta agensi-agensi kerajaan lain telah diberitahu bahawa pojek pembinaan Jambatan Batang Lupar ll dijadualkan siap menjelang Jun 2026.
Projek pembinaan jambatan itu menelan kos sebanyak RM223.6 juta dan menghubungkan Sri Aman dengan Lidong di Bahagian Betong dengan panjang keseluruhan dua kilometer (km) dan ketinggian 870 meter.
Projek ini diharapkan dapat meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan sekitar serta memberi impak ekonomi positif kepada masyarakat setempat, dan pihak berkuasa optimis bahawa pembinaan jambatan ini akan berjalan lancar dan siap mengikut jadual ditetapkan.
Dalam lawatan tersebut, taklimat mengenai perkembangan projek telah disampaikan oleh pihak kontraktor, Naim Gamuda (NAGA) JV Sdn Bhd.
Lawatan ini turut disertai oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Sharif Bujang, pegawai dari SIMU, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, pihak konsultan dan kontraktor utama.
Oleh ADI SAFARMAN