ADI SAFARMAN
BETONG: Jalan Nanga Buai Melanjan, Padeh yang runtuh pada pagi Rabu lalu, kini boleh dilalui kenderaan apabila satu laluan sementara telah dibina semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong memberitahu, jalan berkenaan kini selamat dilalui, namun kerja-kerja pembaikan jalan yang runtuh itu masih lagi belum siap sepenuhnya.
“Walaupun jalan tersebut masih lagi bertanah, namun jalan berkenaan sudah boleh dilalui apabila pihak kita telah membina laluan sementara bagi kemudahan penduduk berulang-alik di sebelah hulu.
“Saya juga memberi peringatan kepada pengguna laluan sementara itu agar lebih berhati-hati lebih-lebih lagi dalam keadaan hujan,” ujarnya.
Beliau berkata, kerja-kerja membaiki jalan berkenaan akan mengambil masa yang panjang ekoran runtuhan Jalan Nanga Buai Melanjan, Padeh itu terlalu tinggi.
Terdahulu, pembetung yang tersumbat dengan pokok besar selain tekanan kuat hujan yang melanda menyebabkan Jalan Nanga Buai Melanjan, Padeh runtuh pagi Rabu lalu.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PBK I Henry Ak Jugah berkata, kejadian berlaku jam 6.40 pagi selepas ia disedari penduduk kampung berhampiran.
“Pembetung di bawah jalan berkenaan mengalirkan air dari Sungai Sibau.
“Akibat tersumbat dengan pokok, air sungai berkenaan melimpah dan tekanan air semakin kuat disebabkan hujan lebat menyebabkan jalan itu runtuh,” katanya.
Menurut Henry, jalan itu terputus sejauh kira-kira 20 meter dan mendap.