KANOWIT: Penduduk tiga rumah panjang di kawasan Menalun dijangka mendapat akses jalan raya lebih baik apabila Projek Membina Jalan Menalun-Sungai Poi, Kanowit Fasa 3 bernilai RM39.96 juta siap pada 2027.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata projek sepanjang 3.6 kilometer itu akan menghubungkan rangkaian jalan sedia ada ke Rumah Keleman, Rumah Nyaru dan Rumah Jelani.
Menurutnya, penduduk di kawasan berkenaan sebelum ini bergantung kepada pengangkutan air sebagai akses utama untuk menjalankan urusan harian.
“Apabila projek ini siap, ia akan memberi kemudahan kepada penduduk untuk bergerak dan menjalankan urusan harian dengan lebih mudah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jalan Menalun-Sungai Poi di Rumah Jarau Jenggut, Menalun Ili, hari ini.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 24 bulan, bermula 17 November 2025 hingga 15 November 2027.
Ia menerima peruntukan RM46.11 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dengan nilai kontrak projek sebanyak RM39.96 juta.
Aaron berkata Fasa 1 dan Fasa 2 projek tersebut telah siap, manakala pelaksanaan Fasa 3 merupakan kesinambungan usaha memperluaskan kemudahan perhubungan jalan raya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, kemudahan jalan raya bukan sahaja penting untuk memudahkan pergerakan penduduk, malah berpotensi membuka peluang ekonomi dan pekerjaan di kawasan terbabit.
Apabila siap, projek itu dijangka memberi manfaat kepada 446 penduduk melibatkan 57 pintu di tiga rumah panjang, selain memudahkan perjalanan ke sekolah, klinik desa, Pekan Kanowit dan Bandar Sibu.
Sebelum ini, warga SK Nanga Menalun dan penduduk setempat turut bergantung kepada pengangkutan air sebagai antara akses utama ke kawasan berkenaan.
Oleh Tarani Lanting





