KUCHING: Rangkaian jalan raya di kawasan sempadan Sarawak dan Sabah diperlukan sekarang bagi menjamin keselamatan negara.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata sekiranya jalan raya itu sudah dinaiktaraf nanti, ia akan mempermudahkan urusan mengawal keselamatan di sempadan negara.
“Ini akan memudahkan pihak penguatkuasa mengawal sempadan daripada ancaman sekali gus peluang perniagaan terbuka luas antara kedua-dua negara (dengan Indonesia).
“Perkara ini diperlukan sekarang iaitu keperluan untuk membina jalan di sempadan kerana kita mahu keselamatan negara dan sebagainya lebih terjamin,” katanya.
Berikutan itu kata beliau pihaknya menyambut baik dana berjumlah RM1 billion dari Kementerian Kewangan untuk kerja-kerja naik taraf prasarana dan keselamatan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.
Nanta berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai peruntukan itu amat dialu-alukan.
“Perdana Menteri telah memberi tumpuan kepada Sarawak dan Sabah. Kedua-dua negeri ini masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas iaitu rangkaian jalan raya dan sebagainya.
“Jadi, memang kita amat alu-alukan kenyataan Perdana Menteri sebab beliau sudah mengetahui apa kehendak rakyat Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof serta kerajaan Sarawak akan memperhalusi pelaksanaan projek infrastruktur ini dengan baik.