
SIBU: Jalan di Lorong Rantau Panjang Jaya iaitu kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh masih
ditutup buat sementara waktu demi untuk keselamatan awam.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Mohammed Abdullah Izkandar Roseley memberitahu bahawa Pengerusi MPS, Clarence Ting Ing Hort memberi jaminan tentang perkara itu kerana keselamatan adalah orang ramai adalah menjadi keutamaan.
Katanya, penduduk yang terjejas telah dimaklumkan mengenai langkah seterusnya.
“Peruntukan telah diluluskan secara prinsip, sementara menunggu surat rasmi sebelum kerja dapat dimulakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak akan melantik perunding untuk reka bentuk dan pengesahan.
“Untuk projek ini, perunding yang dilantik mesti menjalankan analisis tapak terperinci, ujian tanah, serta kajian geoteknikal dan hidrologi bagi mereka bentuk penyelesaian yang menjamin kestabilan jangka panjang.
“Kelulusan daripada pihak berkuasa lebih tinggi masih diperlukan sebelum perunding boleh dilantik,” kata beliau.
Sementara itu, katanya lagi, MPS akan terus menyokong penduduk yang terjejas dengan menyediakan dewan komuniti untuk sebarang keperluan yang diperlukan.
“Kami akan terus memantau perkembangan dan mengemas kini komuniti dari semasa ke semasa. Kesabaran dan pemahaman anda amat dihargai,” ujarnya.
Terdahulu pagi tadi, Ting bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), JPS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk terjejas telah melawat lokasi tersebut.
Oleh Akun Giman