SARATOK: Keadaan jalan ban yang menjadi laluan utama penduduk Kampung Perpat menuju ke kawasan kebun mereka mendapat perhatian selepas sebahagian laluan berkenaan mengalami kerosakan akibat arus sungai yang deras.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata keadaan berkenaan perlu diberi perhatian segera bagi memastikan keselamatan penduduk yang menggunakan laluan tersebut.
Katanya, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, telah hadir mewakilinya untuk mengadakan lawatan dan pemeriksaan di tapak berhubung kerosakan jalan berkenaan.
Menurut beliau, jalan ban itu amat penting kerana menjadi penghubung antara kampung dengan kawasan kebun penduduk, khususnya bagi memudahkan pergerakan penduduk serta melancarkan aktiviti pertanian.
“Jalan ban ini adalah jalan penghubung daripada kampung ke kebun penduduk Kampung Perpat dan keadaannya perlu diberi perhatian supaya dapat digunakan dengan lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata, isu kerosakan itu turut dibincangkan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Kaunselor Saee Ason serta Ketua Kaum Kampung Perpat.
Katanya, perbincangan itu bertujuan mencari kaedah terbaik untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan bahagian jalan yang terjejas akibat hakisan serta arus sungai yang deras.
“Saya telah memaklumkan kepada pihak yang bertanggungjawab, iaitu Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), untuk mengambil tindakan segera bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan yang rosak berhampiran pintu air tersebut,” katanya.
Mohamad Duri pada masa yang sama menasihatkan penduduk dan pengguna jalan supaya sentiasa berwaspada serta berhati-hati ketika melalui kawasan yang mengalami hakisan sehingga kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman



