KUCHING: Komuniti perniagaan perlu menjajarkan semula operasi mereka dan menyalurkan pelaburan berdasarkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan perlindungan alam sekitar sebagai salah satu elemen utama.
Setiausaha Agung Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Dato Jonathan Chai Voon Tok berkata, dengan 20 ahli komponen mewakili industri utama di seluruh Sarawak, SBF berusaha untuk penyertaan sektor swasta yang lebih besar dalam menyokong Pengawasan Alam Sekitar Korporat.
“Disifatkan secara meluas sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, sektor swasta memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan mencapai matlamat pembangunan mampannya.
“Sesungguhnya, sudah tiba masa untuk komuniti perniagaan menjajarkan semula operasi mereka dan menyalurkan pelaburan mereka berdasarkan prinsip ESG dengan perlindungan alam sekitar sebagai salah satu elemen utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) ke-10 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini.
Majlis ini dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jonathan Chai berkata, berfikir dan bertindak terhadap ESG secara proaktif sejak kebelakangan ini menjadi lebih mendesak kerana pihak bank telah mula menilai dan memproses permohonan pinjaman berdasarkan pematuhan ESG.
“ Syarikat-syarikat besar berada di barisan hadapan dalam pelaksanaan ESG, di mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa untuk menerima ESG bagi mempercepatkan pemulihan dalam era pasca-pandemik, berintegrasi ke dalam rantaian bekalan antarabangsa dan mendapatkan akses kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.
Katanya, untuk mencapai pembangunan mampan, penyelarasan pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar adalah penting.
“Kami menggalakkan semua perniagaan dan komuniti untuk meneruskan pertumbuhan ekonomi seimbang dengan menggunakan pendekatan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sumber asli.
“Kami berharap sebagai pihak berkepentingan, perniagaan dapat memperbaharui komitmen kami untuk menjaga, melindungi dan memulihara alam sekitar dan untuk memupuk, membangun dan mengekalkan budaya kerja untuk perlindungan alam sekitar dan pencegahan pencemaran,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN