KUALA LUMPUR: Hasrat beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk merangkul kejuaraan berprestij Jelajah Dunia Akhir (WTF) Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada perlawanan akhir di Hangzhou, hari ini.
Walaupun gagal mencatatkan kejayaan sulung buat negara, pujian patut diberikan buat gandingan kelapan dunia tersebut yang mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengancam pemenang emas Sukan Olimpik 2024 itu sepanjang 75 minit perlawanan di Gimnasium Olimpik Hangzhou.
Tang Jie-Ee Wei yang ketinggalan pada awalnya bangkit di pertengahan permainan bagi menyamakan kedudukan 10-10, bagaimanapun kesilapan permainan di jaring pada penghujung set pertama menghukum mereka sehingga tewas 18-21.
Pada set kedua, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan penguasaan gelanggang lebih kemas untuk mendahului dengan 11-8 pada satu ketika, sebelum berjaya mendapatkan kemenangan 21-14 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi kejar-mengejar mata antara kedua-dua pasangan ditampilkan di set ketiga namun beberapa kesilapan dilakukan Tang Jie-Ee Wei menyaksikan mereka akhirnya terpaksa tunduk kepada wakil tuan rumah itu 17-21.
Tang Jie-Ee Wei menjadi wakil pertama Malaysia yang menempah tiket di di final sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada 2018.
Selaku naib juara, gandingan itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$100,000 (kira-kira RM445,089) sementara Si Wei-Huang Ya Qiong meraih AS$210,000 (kira-kira RM934,688)– BERNAMA