

SIMUNJAN: Majlis Perasmian Bazar Ramadan Simunjan telah berlangsung dengan meriah dan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Majlis ini turut disertai oleh penduduk setempat dan peniaga-peniaga yang mengambil bahagian dalam bazar tersebut.
Bazar Ramadan yang terletak di pusat Padang Sentral Simunjan itu menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa yang memenuhi selera masyarakat setempat.
Dalam majlis tersebut, penyerahan apron kepada peniaga-peniaga juga dilakukan sebagai simbol sokongan terhadap usaha mereka dalam menyediakan hidangan yang berkualiti kepada pelanggan.
“Program bazar Ramadan ini adalah salah satu inisiatif untuk memberi peluang kepada peniaga tempatan memanfaatkan peluang perniagaan, sambil memberi kemudahan kepada masyarakat untuk mendapatkan hidangan berbuka puasa yang pelbagai,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan peniaga untuk menjaga kebersihan dan memastikan semua barangan yang dijual menepati standard yang ditetapkan selain menggalakkan semangat kerjasama antara peniaga dan masyarakat setempat.
Selain itu, pada majlis sama, orang ramai turut menerima agihan bubur lambuk sebuah tradisi yang menjadi simbol penyatuan masyarakat sepanjang Ramadan.
Bubur lambuk tersebut diagihkan kepada orang ramai secara percuma sebagai tanda kebersamaan dalam meraikan bulan yang penuh keberkatan ini.
Sementara itu, Awla mengajak masyarakat untuk terus menyokong peniaga-peniaga tempatan dan mengambil kesempatan untuk berbelanja di bazar sebagai salah satu cara memajukan ekonomi setempat.
“Program seperti ini bukan hanya memberi manfaat dari segi keperluan makanan tetapi juga membantu menggerakkan ekonomi tempatan dan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk berkembang,” ujarnya.
Hadir sama, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, Ahli-ahli Majlis serta Ahli-ahli PBB Cawangan Simunjan. -UKAS