MARUDI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Penguang Manggil menggesa kerjasama rakyat supaya menjaga adab dalam berpolitik dan jangan membuat serangan peribadi, ugut mengugut pihak lawan, menyebar fitnah dan menyebar propaganda jahat.
Penguang selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi mempelawa rakyat mengamalkan budaya politik yang sihat tidak kira siapa yang mereka sokong.
Katanya, jika ada sebarang pertanyaan, boleh terus bertanya kepadanya dan beliau sedia mendengar luahan hati dan memberi jawapan pertanyaan itu kepada sesiapa sahaja.
Penguang berkata demikian ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kajan Sigeh, Long Teru, Tinjar semalam.
Dalam ucapannya di hadapan sekitar 200 penduduk Long Teru dan sekitar, Penguang turut menerangkan beberapa isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak terutama berkenaan projek pembangunan infrastruktur.
Menurut Penguang, bagi projek baik pulih jalan, peruntukan RM1 juta diluluskan tahun lepas di bawah projek rakyat dan akan dilaksankan mengikut jadual pelaksanaan yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Berkenaan peruntukaan RM1,000 sepintu yang pernah diluluskan semasa Barisan Nasional (BN), Penguang menjelaskan bahawa peruntukan tersebut dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 apabila PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan ketika itu.
Selain itu, Penguang turut memberi penerangan isu lain seperti projek bekalan elektrik ke Long Teru yang terganggu buat masa ini yang mana masalah gangguan itu disebabkan masalah ‘way-leave’ yang melibatkan sesetengah pemilik tanah.
Selain itu, beliau turut menerangkan kepada penduduk di sini bahawa projek pembinan jeti Klinik Long Teru yang menelan kos berjumlah RM160,000 akan dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun ini.
Menurut Penguang projek baharu yang telah diluluskan di bawah RTP2021 ialah pembinaan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Long Teru dan projek baik pulih rumah panjang.
Di majlis tersebut Penguang turut menyerahkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Kajan Sigeh berjumlah RM20,000, Biro Wanita Rumah Kajan ( RM5,000 ), JKKK Rumah Joseph Adat (RM15,000), Biro Wanita Rumah Joseph (RM5,000), JKKK Rumah Jarau Long Tabing (RM15,000), Biro Wanita Rumah Jarau (RM5,000), JKKK Rumah Suring Sungai Bain ( RM7,000), JKKK Rumah Eddie Sungai Peking ( RM20,000) dan JKKK Rumah Ludan Sungai Peking ( RM35,000).
Oleh Jiku Juguong