BINTANGOR: Pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) diharap akan membuka lebih banyak kelas kemahiran seperti kelas jangkauan pusat sumber, kelas jangkauan masakan dan jahitan di kawasan Meradong khususnya pada masa akan datang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
“Saya akan menyokong penuh pembukaan kelas-kelas seperti ini dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Jabatan KEMAS dalam memajukan lagi masyarakat khususnya di Daerah Meradong ini.
“Kelas seperti ini memberi impak besar dan manfaat kepada rakyat untuk bangkit memperbaiki dan menaikkan taraf hidup khususnya masyarakat di luar bandar,” katanya pada majlis penutupan rasmi Program Graduasi Kelas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) 2024, semalam.
Mengulas lanjut mengenai majlis, ujarnya, majlis anjuran Jabatan KEMAS Bahagian Sarikei itu bertujuan meraikan para peserta kelas-kelas di bawah unit pembangunan masyarakat dan unit pendidikan kemahiran yang telah berjaya menamatkan pengajian kelas masing-masing.
“Hampir seramai 120 peserta yang terlibat dalam pengajian kelas mereka dan terdapat kelas yang bakal berakhir pada penghujung tahun ini.
“Semua peserta kelas telah berjaya menamatkan kelas dengan jayanya dan diraikan pada hari ini (semalam), seterusnya akan diberikan sijil penghargaan tamat kelas,” katanya berucap pada majlis tersebut.
Tambahnya, program kelas KEMAS telah membawa satu kejayaan besar dalam pembangunan minda dan kualiti masyarakat luar bandar ke arah suatu tahap yang berdaya saing dan maju.
“Saya mengharapkan agar usaha seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan lagi pada masa akan datang demi kesejahteraan bersama.
“Gunakanlah sebaik mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari untuk merebut ruang dan peluang dalam meningkatkan taraf hidup khususnya melalui zaman yang kian mencabar kini,” katanya.
Turut hadir, Pengarah KEMAS Sarawak Anisah Saidin dan Pegawai KEMAS Bahagian Sarikei Banggie Mujap.
Oleh Earl Anek