Kemudahan awam di Skim Penempatan Semula Stampin timbul persoalan keselamatan

Facebook
WhatsApp
KEADAAN tiang lampu yang roboh di Skim Penempatan Semula Stampin, Kuching, menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam.

KUCHING, 5 Oktober: Keadaan daif beberapa kemudahan awam di Skim Penempatan Semula Stampin menimbulkan persoalan mengenai mutu kerja pembinaan dan pematuhan terhadap piawaian keselamatan, terutama selepas terdapat dakwaan beberapa struktur tidak dipasang dengan kaedah yang sewajarnya.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian, berkata keadaan itu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu kegagalan penduduk menjaga kemudahan awam, sebaliknya kualiti pembinaan dan kaedah pemasangannya perlu turut diteliti.

“Saya mendapati beberapa kemudahan awam di sini berada dalam keadaan kurang baik. Ada pihak mungkin pantas menyalahkan penduduk kerana tidak menjaga kemudahan ini, tetapi pada pandangan saya, kita perlu melihat terlebih dahulu kualiti kerja serta bagaimana kemudahan ini dibina sejak awal,” katanya.

Menurut Kong, tiang lampu di kawasan berkenaan dilihat hanya ditanam kira-kira enam inci ke dalam tanah, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia dipasang dengan kukuh untuk menahan penggunaan harian serta keadaan cuaca.

Lebih membimbangkan, katanya, ialah keadaan penghadang besi yang didakwa tidak dipasang menggunakan kaedah penambatan dan simen yang sewajarnya, sebaliknya kelihatan hanya dipasang menggunakan skru pendek.

“Jika benar kemudahan ini dibina dengan cara sedemikian, isu ini bukan sekadar berkaitan penyelenggaraan oleh penduduk, tetapi turut melibatkan mutu kerja dan kawalan kualiti,” katanya.

Beliau berkata kemudahan awam sepatutnya dibina untuk menahan penggunaan biasa serta keadaan cuaca, bukannya menggunakan kaedah pemasangan yang boleh menyebabkan struktur mudah rosak atau tercabut.

PAGAR yang tercabut di Skim Penempatan Semula Stampin, Kuching, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna.

Sehubungan itu, Kong menggesa pihak kontraktor yang melaksanakan kerja berkenaan serta agensi yang bertanggungjawab menyelia dan meluluskannya dikenal pasti dan dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat kecuaian atau kegagalan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Bagaimana mutu kerja seperti ini boleh diterima sejak awal?” soalnya.

Beliau turut menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menjalankan siasatan segera dan membaiki kemudahan yang terjejas bagi memastikan semuanya selamat digunakan oleh orang awam.

Pada masa sama, beliau meminta MBKS memeriksa kemudahan awam lain di sekitar kawasan berkenaan bagi memastikan semuanya dipasang dengan betul dan berada dalam keadaan selamat.

“Ini bukan sekadar mengenai membaiki apa yang sudah rosak. Ia adalah mengenai mencegah kemungkinan berlakunya kemalangan sebelum ia berlaku.

“Jika mana-mana struktur atau peralatan ini tumbang dan mencederakan seseorang, ketika itu sudah terlambat untuk bertanya siapa yang bertanggungjawab,” katanya.

Kong menegaskan keselamatan awam mesti menjadi keutamaan, manakala kemudahan awam perlu dibina, diperiksa dan diselenggara dengan baik.

“Jika terdapat kecacatan, pihak yang bertanggungjawab perlu diarahkan membaikinya dan bukannya mengalihkan kesalahan kepada penduduk,” katanya.

Oleh Connie Chieng