ISU antara Petronas dan kerajaan Sarawak menjadi satu titik tumpuan dalam perbincangan ekonomi dan politik Malaysia, mencerminkan pertembungan kepentingan di antara persekutuan dan negeri Sarawak.
Konflik ini bukan sahaja menguji hubungan kukuh antara pemimpin Sarawak dan Putrajaya, malah juga membuka perdebatan mengenai hak-hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).
LATAR BELAKANG ISU PETRONAS-PETROS
Petronas, syarikat minyak dan gas nasional, telah lama memegang monopoli ke atas industri petroleum di Malaysia berdasarkan PDA 1974.
Akta ini memberikan hak eksklusif kepada Petronas untuk meneroka, membangun dan mengkomersialkan sumber petroleum di seluruh negara, termasuk di Sarawak.
Namun, selepas MA63 dihidupkan kembali sebagai asas hak autonomi negeri, Sarawak mempersoalkan kedudukan PDA 1974, dengan mendakwa ia bertentangan dengan perjanjian asal penubuhan Malaysia meskipun ia turut ditandatangani oleh Ahli-Ahli Parlimen dari Sarawak pada suatu ketika dahulu.
Kerajaan Sarawak, melalui syarikat miliknya, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), menuntut kawalan lebih besar ke atas sumber petroleum di kawasan negeri.
Aspek ini termasuk pengutipan cukai jualan produk petroleum yang diperkenalkan oleh Sarawak pada 2019.
Walaupun Petronas akhirnya bersetuju membayar cukai tersebut, isu kawalan ke atas pengurusan dan keuntungan sumber minyak dan gas masih menjadi titik pertikaian dan perbezaan pandangan.
PERSPEKTIF KERAJAAN SARAWAK
Dari sudut pandang Sarawak, tuntutan ini bukan semata-mata soal ekonomi tetapi juga hak autonomi. Sarawak sering menekankan bahawa MA63 memberikan negeri itu hak ke atas hasil bumi mereka.
Sarawak juga melihat usaha mereka sebagai langkah untuk memastikan hasil petroleum digunakan bagi manfaat penduduk tempatan, termasuk pembangunan infrastruktur dan peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Tambahan pula, Sarawak menyatakan bahawa sumber petroleum mereka telah lama menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara, tetapi manfaat langsung kepada negeri tersebut adalah terhad.
Oleh itu, tuntutan kawalan ke atas sumber minyak dan gas dilihat sebagai usaha untuk memperbaiki ketidakseimbangan ini.
PERSPEKTIF PETRONAS DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Petronas, sebagai entiti milik Kerajaan Persekutuan, melihat isu ini melalui lensa kepentingan nasional. PDA 1974 dianggap sebagai undang-undang yang memastikan sumber petroleum digunakan untuk manfaat seluruh negara, bukan sekadar negeri-negeri pengeluar minyak.
Dalam konteks ini, kedudukan Sarawak sebagai sebahagian dari Persekutuan Malaysia menuntut negeri itu untuk menyumbang kepada pembangunan nasional secara keseluruhan.
Daripada perspektif Kerajaan Persekutuan, jika kawalan penuh diberikan kepada negeri-negeri pengeluar minyak seperti Sarawak dan Sabah, ia boleh menjejaskan kestabilan ekonomi nasional.
Selain itu, kebimbangan juga timbul mengenai kesan domino, iaitu apabila negeri-negeri lain yang kaya dengan sumber alam mungkin turut membuat tuntutan serupa, sekali gus melemahkan integrasi ekonomi Persekutuan.
HUBUNGAN ANTARA PEMIMPIN DAN ISU POLITISASI
Perselisihan ini juga mencerminkan dinamik politik antara pemimpin persekutuan dan negeri. Kedua-dua pihak, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mempunyai hubungan yang baik, dibina atas kerjasama politik lama dalam Barisan Nasional (BN).
Namun, perpecahan dalaman BN yang bermula dengan pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri kira-kira 30 tahun dahulu dan BN Sarawak keluar gabungan sekitar tujuh tahun lalu dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 2018 telah mengubah landskap hubungan ini.
GPS, yang kini menjadi sekutu penting dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, mempunyai pengaruh politik yang signifikan.
Sarawak memainkan peranan penting dalam kestabilan politik Kerajaan Persekutuan, dan Anwar perlu menyeimbangkan kepentingan negeri ini dengan agenda nasional.
Oleh itu, menangani isu Petronas-Petros memerlukan pendekatan yang bijaksana dan adil kepada semua warga Malaysia.
PENYELESAIAN MELALUI RUNDINGAN ATAU PROSES MAHKAMAH
Sekiranya rundingan untuk mencapai konsensus menemui jalan buntu, penyelesaian melalui proses undang-undang dijangka akan menjadi jalan penyelesaian terakhir.
Mahkamah atas sifat keluhuran undang-undang mampu berperanan memberikan keadilan perspektif undang-undang dan boleh memberikan tafsiran yang jelas mengenai PDA 1974 dan MA63, yang dapat menjadi preseden penting untuk isu-isu serupa pada masa depan.
Namun, keputusan mahkamah yang memihak kepada satu pihak sahaja berisiko menimbulkan ketidakpuasan.
Itulah pentingnya, kedua-dua pihak yang bertelagah memastikan memberikan kepercayaan penuh akan apa-apa keputusan yang diputuskan oleh mahkamah dan bersedia menerima keputusan dengan fikiran terbuka.
Sikap berjiwa besar menerima apa-apa keputusan mahkamah ini akan mencerminkan kematangan kepimpinan dan hubungan di antara kedua-dua pihak di kala setiap pihak mempunyai perspektif pandangan mereka tersendiri.
Pun begitu, sebagai alternatif, penyelesaian yang dirundingkan mungkin lebih sesuai agar tidak terheret dengan mahkamah, kerana ia membolehkan kedua-dua pihak mencapai kesepakatan yang mengambil kira kepentingan bersama.
Wakil perunding yang profesional, tidak bersifat populis, bijaksana dalam mengimbangkan keperluan nasional dan Sarawak, mempunyai latar undang-undang dan sejarah yang berwibawa adalah antara yang perlu ada dalam proses rundingan tersebut.
Misalnya, Sarawak boleh diberi peranan lebih besar dalam pengurusan sumber petroleum tanpa menjejaskan kepentingan nasional Petronas.
Penyelesaian seperti ini bukan sahaja mengurangkan konflik, tetapi juga memupuk semangat kerjasama antara negeri dan persekutuan.
KESAN KEPADA NEGERI LAIN
Cara isu ini ditangani juga akan memberikan kesan kepada negeri-negeri lain, terutamanya Sabah. Sabah, yang turut memiliki sumber petroleum yang besar, mungkin melihat penyelesaian ini sebagai rujukan untuk memperjuangkan hak autonomi mereka.
Jika penyelesaian tidak mengambil kira kepentingan negeri, ia boleh mencetuskan gelombang tuntutan autonomi dari negeri-negeri lain, sekali gus menguji kekuatan dan integrasi Persekutuan Malaysia.
Sebaliknya, penyelesaian yang menghormati hak negeri sambil mengekalkan kestabilan persekutuan boleh menjadi model untuk menangani isu-isu sumber alam di masa depan.
Situasi ini memerlukan pemimpin persekutuan dan negeri untuk bekerja bersama-sama demi kepentingan rakyat dan negara.
KESIMPULAN
Isu antara Petronas dan Sarawak mencerminkan cabaran besar dalam hubungan persekutuan-negeri di Malaysia.
Walaupun kedua-dua pihak mempunyai pandangan dan kepentingan berbeza, penyelesaian yang telus, berintegriti, dan adil mesti dicapai. Sama ada melalui proses mahkamah atau rundingan, kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan.
Perdana Menteri Anwar menghadapi ujian besar dalam menangani isu ini, yang boleh menjadi preseden untuk negeri-negeri lain.
Dengan pendekatan yang bijaksana, isu ini boleh menjadi peluang untuk mengukuhkan hubungan persekutuan-negeri, memastikan manfaat sumber petroleum diagihkan secara adil, dan mengekalkan kestabilan politik serta ekonomi Malaysia.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).