BERITA baik untuk rakyat Sarawak. Tidak lama lagi, pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak akan dimuktamadkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa proses ini akan selesai sebelum akhir tahun ini.
Walaupun kita masih meneka-neka nama rasmi bagi syarikat penerbangan Sarawak ini, apa yang pasti ia membawa harapan besar dalam mengangkat martabat dan meningkatkan kebolehcapaian bagi seluruh rakyat Sarawak untuk berada tinggi di angkasa dan jauh nun merentasi benua.
Kita sedia maklum, selama ini kita tidak mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan udara yang memenuhi kriteria diinginkan.
Kita akur dengan apa sahaja yang ditawarkan, dari segi harga tiket, masa penerbangan hingga destinasi yang ditetapkan.
Setiap kali berdepan masalah, kita buat aduan kepada pihak berkenaan, namun acapkali ia mengecewakan apabila ia sekadar maklum balas rutin, tanpa penyelesaian tuntas.
Jadi dengan ada syarikat penerbangan Sarawak ini, adakah ia bakal mengakhiri keluhan rakyat Sarawak, terutama harga tiket kapal terbang?
Bayangkan jika harga tiket sehala sahaja boleh melebihi RM1,000 seorang, ia sangat mahal bagi kebanyakan orang apatah lagi jika perjalanan ini melibatkan ramai ahli keluarga atau mereka yang kerap berulang-alik atas tuntutan kerja selain keperluan rawatan kesihatan, pendidikan atau urusan keluarga.
Harga tinggi sebegini pastinya membebankan pengguna yang terdiri daripada mereka yang berpendapatan sederhana lebih-lebih lagi yang berpendapatan rendah.
Walaupun harga mencecah setinggi RM1,000 ini mungkin dijual pada musim perayaan atau cuti sekolah, ia tidak seharusnya menjadi beban yang akan terpaksa ditanggung setiap kali menghadapi waktu puncak permintaan perkhidmatan kapal terbang.
Sebagai pelanggan, harga tiket yang rendah dan berpatutan akan dapat memberikan kelegaan dan kemudahan dalam merancang perjalanan walaupun mungkin terpaksa menempah tiket pada saat-saat akhir.
Penawaran harga tiket yang fleksibel dengan harga kompetitif seperti yang ada ditawarkan oleh syarikat penerbangan lain, ditambah bayangan had maksimum tambang ditetapkan sekitar RM500 sehala bergantung kepada destinasi, pasti akan merancakkan lagi sektor perjalanan udara di Sarawak.
Selain kestabilan harga tiket yang ditawarkan, kita juga berharap syarikat penerbangan Sarawak ini lebih telus dalam penetapan harga-harga perkhidmatan tambahan seperti bilangan dan berat bagasi yang dimasukkan ke dalam kargo, pilihan makanan semasa penerbangan dan ketetapan tempat duduk dalam kabin.
Ketelusan dalam struktur harga perkhidmatan tambahan ini penting bagi memastikan penumpang tidak terbeban dengan kos tersembunyi atau caj tambahan yang tidak dijangka.
Malah harga tambahan sekiranya dikenakan perlu dinyatakan dengan jelas agar penumpang dapat membuat keputusan lebih bijak dan merancang bajet perjalanan mereka tanpa sebarang kejutan kos.
Tidak sekadar itu, kita juga mengharapkan agar syarikat penerbangan ini dapat menawarkan harga istimewa untuk penumpang tertentu seperti penumpang yang terbang bersama ahli keluarga ramai atau secara berkumpulan selain untuk warga emas, pelajar dan mereka yang kerap terbang.
Inisiatif harga istimewa ini akan menjadikan syarikat ini sebagai pilihan utama kerana memahami akan keperluan dan kemampuan pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara.
Di samping itu, penumpang semestinya inginkan layanan profesional daripada staf syarikat penerbangan tidak kira sama ada staf di lapangan terbang atau di dalam kabin.
Pastinya setiap momen yang dilalui oleh penumpang, dari proses pendaftaran masuk hingga tiba di destinasi, akan lebih bermakna sekiranya menerima layanan yang penuh mesra oleh staf bertugas.
Kita maklum, tidak semua perkara akan berjalan lancar semasa urusan berlangsung. Maka kita berharap melalui latihan dan visi syarikat yang jelas, staf akan dilatih untuk mengawal situasi dengan baik dan berbudi bahasa walaupun dalam keadaan mencabar.
Latihan yang berfokus kepada ‘common sense’ yang tinggi akan membantu staf membuat keputusan bijak dan pantas, selain memberi mereka keupayaan untuk memahami keperluan penumpang dengan lebih mendalam.
Syarikat penerbangan Sarawak juga perlu menyediakan pilihan destinasi yang lebih banyak, terutama ke lokasi yang mempunyai permintaan tinggi serta ke kawasan pedalaman yang memerlukan akses pengangkutan udara.
Destinasi yang lebih luas dan kekerapan penerbangan lebih tinggi bukan sahaja akan memudahkan pergerakan, malah juga akan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi, perniagaan dan pelancongan di negeri ini.
Sehubungan dengan itu, harapan kita sebagai pelanggan kepada syarikat penerbangan ini agar kadar kelewatan atau pembatalan penerbangan dapat diminimumkan.
Pengalaman buruk akibat kelewatan dan pembatalan yang sering dialami apabila menggunakan khidmat syarikat penerbangan lain diharapkan tidak berlaku dalam syarikat penerbangan kita ini.
Kita faham bahawa keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan, namun apa yang ditagih adalah pengurusan masa dan perancangan lebih efisien agar ketepatan jadual penerbangan dapat dipenuhi.
Sekalipun perkara seperti ini adakalanya tidak dapat dielakkan, layanan dan tindak balas pantas yang berbudi bahasa daripada pihak syarikat akan mengurangkan kekecewaan penumpang.
Selain harapan kita sebagai pelanggan, pada sisi lain, kita juga ingin melihat syarikat penerbangan Sarawak memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk membina kerjaya dalam industri penerbangan terutama kepada mereka yang ingin menjadi jurutera atau juruterbang.
Dengan mengutamakan tenaga kerja tempatan, syarikat ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi wilayah ini, malah juga membantu melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang penerbangan yang pastinya dapat memperkukuh kualiti perkhidmatan syarikat penerbangan Sarawak.
Semoga syarikat penerbangan Sarawak ini sentiasa unggul dan mampu memenuhi harapan rakyat Sarawak, terutama dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti tinggi.
Kita faham bahawa ‘jambatan’ yang diwujudkan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan Sarawak, malah ia berpotensi menjadi ikon kebanggaan rakyat pertiwi ini.
Dengan segala usaha dan komitmen dalam memperbaiki akses pengangkutan udara, kita berharap syarikat ini dapat melangkah jauh, bukan hanya sebagai pilihan utama bagi penduduk tempatan tetapi juga sebagai lambang kemajuan Sarawak di mata dunia.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.