BINTULU: Isu kekurangan bekalan minyak diesel di sini dijangka beransur pulih pada awal September ini.
Ketua Cawangan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bintulu, Al Redzamani Abdul Razak berkata, ini hasil maklumat daripada pihak yang terbabit.
“Pihak Shell memberi jaminan akan mengkaji semula permohonan tambahan kuota minyak diesel yang dipohon oleh operator-operator stesen minyak untuk menampung keperluan bilangan treler dan lori yang semakin meningkat terutamanya yang beroperasi di sekitar kawasan industri seperti Tanjung Kidurong, Similajau dan jalan pesisir Bintulu – Miri.
“Hasil mesyuarat, pihak KPDN Bintulu mendapat maklumat daripada pihak operator-operator stesen minyak terbabit bahawa bekalan diesel biasanya akan berkurangan bermula pada minggu ketiga atau minggu keempat setiap bulan berikutan permintaan tinggi pada minggu pertama dan minggu kedua yang memberi kesan kepada bekalan di setiap hujung bulan oleh kerana baki kuota yang terhad.
“Selain itu, ketiadaan penghantaran minyak diesel pada hari Ahad juga kadangkala memberi kesan bekalan di stesen- stesen minyak tersebut pada hari Isnin,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Antara faktor lain adalah disebabkan, kawasan Tanjung Kidurong, sekitar Similajau dan Jalan Pesisir Bintulu-Miri semakin rancak dengan projek mega seperti pembangunan projek mega selain projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang berlangsung, selain dari ladang komersial khususnya sawit.
“Banyak syarikat kenderaan berat seperti treler dan lori mendaftar akaun syarikat menjadi pelanggan tetap. Peningkatan jumlah treler dan lori inilah yang ditular seperti di sebuah stesen minyak Shell di kawasan Kidurong, Bintulu.
“Berdasarkan maklum balas beberapa pemandu treler dan lori sekitar stesen minyak di kawasan kidurong, didapati tidak berlaku kehabisan stok yang panjang.
“Pemandu treler dan lori memaklumkan kebiasaannya, mereka menunggu tidak lebih dari dua jam, berikutan menunggu lori tanker dari pihak Shell membuat penghantaran,” jelasnya.
Beliau berkata, kesesakan laluan masuk ke stesen Shell yang ditular itu biasanya berlaku pada hari Isnin dan hari bekerja kerana banyak treler serta lori mengepam minyak sebelum ke tapak pembinaan masing-masing.
“Bagaimanapun, wakil dari pihak Shell memberi jaminan akan membantu mencari jalan penyelesaian dengan mempertingkat penghantaran yang berterusan dengan tujuan mengelakkan kehabisan stok berpanjangan dan meminimumkan impak.
“Pihak pejabat KPDN Bintulu juga bertegas akan membuat pemantauan berterusan di semua stesen minyak khususnya jenama Shell dan turut nekad memerangi sindiket penyelewengan minyak diesel lebih giat lagi dan orang ramai boleh membuat laporan aduan ke Pejabat KPDN Bintulu,” katanya.
Al Redzamani berkata, stesen minyak yang didapati bekerjasama dengan sindiket penyelewengan diesel akan diambil tindakan tegas.
“Kami juga ingin memaklumkan stesen-stesen minyak jenama lain tiada isu bekalan diesel. Orang awam terutamanya pengguna kenderaan ringan dan motorsikal dinasihati boleh mengambil jalan alternatif ke stesen-stesen yang tidak sesak dengan jentera berat atau treler dan mempunyai cukup bekalan diesel.
Oleh Carolyne Utih