KUALA LUMPUR: Bayaran pampasan tambahan bagi pengambilan tanah daripada 11 pemilik unit flat di Kampung Sungai Baru di Kampung Bharu di sini dengan nilai keseluruhan berjumlah RM200,000 telah diserahkan kepada pemohon terlibat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata mereka adalah sebahagian daripada 75 pemohon yang mengemukakan Borang N (Permohonan Supaya Bantahan Dirujukkan Kepada Mahkamah), Seksyen 38 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 yang membantah jumlah tawaran pampasan pengambilan tanah oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL).
Dr Zaliha berkata mahkamah telah memerintahkan 11 permohonan daripada pemilik unit flat itu diberi tambahan bayaran pampasan sebanyak RM18,000 hingga RM24,000 seunit berdasarkan perintah penghakiman persetujuan penyelesaian luar mahkamah, manakala baki dua lagi permohonan masih dalam tindakan Jabatan Peguam Negara.
“Jumlah ini adalah tambahan bayaran kepada tawaran pampasan keseluruhan yang ditawarkan JKPTG WPKL kepada pemilik yang berjumlah antara RM244,000 hingga RM356,000.
“Pemohon telah setuju dengan tawaran peningkatan lebih kurang 10 peratus daripada nilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berhubung status rayuan tuntutan pampasan oleh kumpulan minoriti yang menolak tawaran pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu.
Dr Zaliha menjelaskan proses pengambilan tanah bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Sungai Baru selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.
Beliau berkata daripada 75 pemohonan bantahan itu, 62 adalah pemilik lot teres dan hanya satu permohonan telah dibicarakan pada Mei 2024 dengan mahkamah memutuskan tambahan bayaran pampasan sebanyak RM69,000 atau lapan peratus daripada award hartanah JKPTG WPKL berjumlah RM874,000.
“Baki bagi 61 permohonan melibatkan pemilik lot teres ini masih dalam tindakan pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya sambil menambah tawaran usaha sama antara pemilik dan pemaju adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.
Dr Zaliha berkata tawaran terbabit merangkumi pulangan usaha sama iaitu unit gantian, kos pindah keluar dan masuk, insentif persetujuan usaha sama, ex-gratia ubah suai rumah sedia ada dan bayaran sewaan sementara.
“Pemilik yang bersetuju dengan tawaran usaha sama akan mendapat nilai masa depan, manakala penentuan tawaran pampasan pengambilan tanah adalah berlandaskan perundangan di dalam APT 1960 dan lain-lain peraturan berkaitan dengan nilai pasaran semasa.
“Justeru, semua pihak perlu menghormati proses dan keputusan yang telah dimuktamadkan kerana ia melibatkan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya. – Bernama