PENGENDALI pasukan Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim meluahkan kekecewaan beliau terhadap kegagalan anak-anak buahnya memanfaatkan peluang untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan menentang Selangor FC 2 petang kelmarin.
Menurut Irfan, kegagalan untuk meraih tiga mata penuh menyebabkan skuad kendaliannya itu menyukarkan laluan mereka untuk ke pentas Liga Super musim hadapan.
Beliau sekali lagi menegaskan pasukan beliau tidak mempunyai ‘depth’ yang diperlukan tatkala menghadapi perlawanan penting masa ini.
“Yang mendukacitakan pasukan kita ialah pasukan kita tiada ‘depth’, jauh sangatlah perbedaan antara pemain simpanan dengan pemain utama.
“Menghadapi masalah lagi apabila pertahanan tengah kita dan beberapa pemain utama masih cedera,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu petang kelmarin.
Irfan berkata biarpun pasukannya gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri, namun beliau tetap berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Selangor FC 2.
Beliau menegaskan betapa dalam permainan bola sepak tidak perlu untuk beraksi dengan gaya permainan yang menarik sebaliknya apa yang sepatutnya dilakukan dalam perlawanan adalah bagaimana untuk menjaringkan gol.
Katanya, walaupun secara keseluruhan berpuas hati dengan kesungguhan setiap pemain skuad The Cats, beliau agak kecewa apabila misi sebenar untuk membawa pulang tiga mata tidak tercapai.
“Memang sasaran adalah untuk menang dalam perlawanan itu tetapi meraih satu mata sudah memadai dan saya memuji komitmen setiap pemain yang tidak mengenal erti berputus asa berjuang sehingga ke wisel penamat,” ujarnya.
Sementara itu, Irfan mengakui biarpun jarak aksi yang akan diharungi selepas ini agak rapat dengan hanya berehat selama tiga ke empat hari namun mereka akan lalui semua aksi di laman sendiri.
“Mengenai jadual perlawanan, saya akui memang tiada pilihan buat Kuching City selain mengharungi jadual yang telah disusun Malaysia Football League (MFL) biarpun nampak ketat.
“Namun saya faham tiada pilihan lain buat MFL dan harap semua pemain terbaik saya dapat diturunkan dalam tiap perlawanan yang kita harungi,” tambahnya.
Kuching City sekali lagi bakal menghadapi tugas getir apabila menanti kunjungan Negeri Sembilan FC pada 1 September (petang Rabu) ini di Stadium Pasir Gudang.
Oleh ADI SAFARMAN