IPU Tebedu 214, Serian 201 catat tahap sangat tidak sihat

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU di beberapa kawasan Sarawak yang menunjukkan tahap sangat tidak sihat susulan keadaan jerebu setakat 4.00 petang hari ini.

KUCHING: Dua kawasan di Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat 4.00 petang hari ini, dengan Tebedu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 214.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Tebedu mencatat bacaan IPU 214, diikuti Serian (201), yang kedua-duanya berada dalam kategori sangat tidak sihat.

Sebanyak 12 kawasan lain pula merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Samarahan (178), Kuching (177), Sri Aman (157), Sarikei (160), Sibu (124), Bintulu (153), Samalaju (110), Miri (151), Lundu (111), Lubok Antu (165) dan Lawas (102).

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat yang boleh menjejaskan kesihatan awam, khususnya golongan berisiko.

Sementara itu, Mukah mencatat bacaan 97, Kapit (67), ILP Miri (92), Limbang (78) dan Bario (64), masing-masing berada pada tahap sederhana.

Bacaan IPU berkenaan dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.

Keadaan itu turut menyaksikan Serian dan Tebedu menjadi kawasan paling terjejas berdasarkan bacaan terkini, dengan kedua-duanya kini melepasi paras 200.

Orang ramai terutama golongan berisiko tinggi dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengehadkan aktiviti luar sekiranya keadaan kualiti udara bertambah buruk.

Bacaan IPU semasa hendaklah dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan bersesuaian dapat diambil susulan perubahan keadaan jerebu.

Oleh Shikin Mahmud