SERIAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian meningkatkan rondaan dan pemantauan susulan jerebu yang melanda daerah ini, hari ini.
IPD Serian dalam kenyataan memaklumkan, operasi pemantauan itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara sepanjang tempoh jerebu.
Sepanjang rondaan, anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Serian, Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Serian serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Serian turut membuat pemantauan di sekitar kawasan berkenaan.

Anggota bertugas turut mendekati masyarakat bagi memberikan nasihat mengenai langkah penjagaan kesihatan sepanjang tempoh jerebu.
Orang ramai, khususnya mereka yang perlu berada di luar kediaman, dinasihatkan supaya menggunakan pelitup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga.

Masyarakat turut disaran mengurangkan aktiviti di luar rumah sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.
IPD Serian menegaskan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah itu sentiasa terpelihara.




