PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor merancang memperluas perkhidmatan ‘Internet berpagar’ ke premis awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah itu susulan kejayaan projek rintis di masjid-masjid di negeri berkenaan bagi mengekang penyebaran maklumat berunsur negatif.
Beliau berkata pendekatan tapisan kandungan itu penting bagi memastikan capaian digital tidak disalah guna sewaktu urusan utama seperti waktu ibadah atau pembelajaran.
“Jika di masjid kami pasang sistem penyaring supaya anak-anak tidak bermain permainan dalam talian ketika waktu solat, pendekatan sama akan dikembangkan ke IPTS dan kediaman awam berkaitan,” katanya selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 peringkat Daerah Petaling Jaya di Kampung Lindungan di sini hari ini.
Mohammad Fahmi ketika mengulas mengenai ancaman siber berkata sebanyak 35,073 kes penipuan dalam talian direkodkan setakat Jun lepas melibatkan kerugian RM951.7 juta, dengan penipuan pelaburan menyumbang RM413.8 juta.
“Kerugian hampir RM1 bilion ini melibatkan simpanan wang rakyat. Justeru, masyarakat perlu mengamalkan konsep ‘tabayyun’, atau semakan teliti menerusi prinsip ‘Semak Sebelum Klik, Fikir Sebelum Kongsi’,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh pihak berkuasa bagi menyaring kata kunci atau akaun palsu secara automatik untuk membanteras buli siber dan elemen melampau tanpa menunggu aduan awam.
Terdahulu, karnival anjuran MCMC yang menarik kehadiran lebih 300 pengunjung berkenaan diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk senamrobik, pertandingan e-sukan Mobile Legends dan taklimat kesedaran siber.
Seorang pengunjung, Nor Syuhadah Maznan, 28, berkata gabungan aktiviti bakat dan advokasi siber menjadikan mesej keselamatan digital lebih santai serta mudah diterima komuniti.
“Usaha kerajaan ini wajar diteruskan demi keselamatan generasi muda memandangkan kandungan Internet kini kerap melepasi sempadan secara tidak sengaja,” katanya. – Bernama





