SIBU: Budaya integriti dan inovasi perlu dijadikan asas utama dalam perkhidmatan awam bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memastikan agenda pembangunan mampan Sarawak terus dipacu dengan berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kedua-dua elemen itu saling melengkapi dalam membentuk organisasi berprestasi tinggi yang diyakini rakyat, selain menjadi tunjang kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih profesional, telus dan berkesan.
Menurutnya, tema ‘Membudayakan Integriti, Memacu Inovasi, Merealisasikan Prestasi’ amat bertepatan dengan peranan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) sebagai agensi yang bertanggungjawab memelihara serta mengurus kelestarian alam sekitar di Sarawak.
“Integriti menjadi asas kepada tadbir urus yang telus dan berkesan, manakala inovasi menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan,” ujarnya semasa merasmikan majlis sambutan Hari Integriti dan Inovasi NREB 2026 di Hotel Kingwood, di sini, hari ini.

Juanda berkata, skop tanggungjawab NREB kini semakin luas berikutan pelaksanaan autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain penguatkuasaan Ordinan Alam Sekitar (Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 dan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024.
“Perkembangan itu menuntut warga NREB terus memperkukuh kompetensi, integriti dan keupayaan organisasi, termasuk mempercepat proses kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), menambah baik pemantauan pasca-EIA serta memperkukuh tadbir urus alam sekitar tanpa mengabaikan prinsip integriti,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak turut memperkasakan budaya integriti menerusi pelbagai inisiatif seperti Jelajah Integriti Sarawak, Pembinaan Integriti Komuniti (CIB) dan Kelab Rakan Integriti Sekolah (KRIS), di samping menggesa penjawat awam sentiasa melaksanakan amanah secara adil, telus dan bebas daripada sebarang kepentingan peribadi.
Katanya, inovasi terus menjadi pemacu kecemerlangan sektor awam menerusi pelaksanaan Anugerah Kelestarian Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS-NEXT) serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
“Saya turut merakamkan penghargaan atas kejayaan NREB menerima Anugerah Penglibatan Pihak Berkepentingan Malaysia Tahun Ini – Pendidikan menerusi inisiatif Kelab PALS serta pembangunan Sistem Pengurusan Gas Rumah Hijau (GHGMS) yang bakal memperkukuh pengurusan pelepasan karbon dan kelestarian alam sekitar di Sarawak,” katanya.
Beliau yakin NREB akan terus menjadi peneraju dalam pengurusan alam sekitar yang mampan serta menyumbang kepada pembangunan Sarawak yang lebih progresif.
Turut hadir ialah Pengawal Kualiti Alam Sekitar NREB Sarawak, Datu Jack Liam serta yang lain.
Oleh Akun Giman



