PARIS, Perancis: Pengadil Somalia, Omar Artan, menyifatkan peluang mengadili perlawanan Piala Super UEFA antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Aston Villa di Salzburg sebagai “Piala Dunia” miliknya.
Pengadil berusia 34 tahun itu tidak berpeluang mengadili perlawanan Piala Dunia selepas dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat.
Beliau dihalang daripada memasuki negara itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, walaupun merupakan antara barisan pengadil yang dipilih FIFA untuk kejohanan berkenaan.
Dalam hantaran di platform X, UEFA berkongsi foto bola perlawanan daripada aksi Rabu yang tertera tulisan Artan: “Ini Piala Dunia saya”.
UEFA turut memuat naik kapsyen: “Cenderamata Piala Super istimewa daripada Omar Artan.”
UEFA menjemput Artan untuk mengadili Piala Super selepas beliau dihalang memasuki Miami. PSG memenangi perlawanan itu 2-1.
Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat memberitahu AFP ketika itu bahawa pengadil berkenaan “mempunyai kaitan dengan individu yang disyaki anggota pertubuhan pengganas”, sekali gus menyebabkan beliau tidak layak memasuki Amerika Syarikat.
Artan menafikan dakwaan berkenaan, yang mencetuskan kemarahan di Somalia, tempat beliau disambut sebagai wira selepas pulang ke negara itu.
Pada Khamis, Artan menggunakan akaun Instagramnya untuk mengucapkan terima kasih kepada UEFA dan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).
“Terima kasih kepada semua yang menjayakan perkara ini,” tulisnya.
“Terutamanya UEFA kerana memberikan kepercayaan dan peluang kepada saya serta menyambut saya ke benua mereka dengan tangan terbuka.
“Konfederasi saya sendiri, CAF, atas sokongan dan menjadikan perkara ini suatu kenyataan.”
UEFA menjelaskan keputusan melantik Artan dengan merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani bersama CAF pada penghujung April bagi menggalakkan kerjasama antara kedua-dua konfederasi.
Namun, pelantikan itu turut dilihat sebagai isyarat politik UEFA, yang sering mengkritik FIFA, dan menjadi semakin signifikan susulan konflik antara badan bola sepak Eropah itu dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, sejak beberapa minggu lalu berhubung rancangan yang dibatalkan untuk membuka Piala Dunia kepada pelabur swasta.
Kegagalan rancangan itu sebahagian besarnya berpunca daripada tentangan yang diketuai UEFA, yang masih menggunakan ancaman memboikot kejohanan FIFA, termasuk Piala Dunia, dalam usaha mendesak Infantino berundur. – AFP





