KUCHING: Walaupun amaran berulang kali diberikan oleh pihak polis melalui hebahan media massa berkenaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal, orang ramai masih gagal mematuhinya dan bersikap sambil lewa dengan arahan arahan yang telah diberikan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Merbin Lisa berkata, pada 31 Ogos lalu, seramai 50 individu dikenakan kompaun dalam pemeriksaan berasingan yang dijalankan di sekitar Bandar raya Kuching, semalam iaitu di Tebingan Kampung Sorabaya Ulu Petra Jaya, di Tebingan Kuching dan di Jalan Wayang Kuching.
Daripada jumlah tersebut 35 orang daripadanya adalah lelaki dan 15 orang adalah perempuan.
Merbin berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang gagal mematuhi SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.
“Pemantauan dan pemeriksaan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berterusan dan dipergiatkan bagi membendung sebarang kemungkinan penularan Covid-19 yang telah menjadi pandemik.
“Kompaun yang dikeluarkan tersebut perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam tempoh 14 hari dengan jumlah kompaun dikenaan sebanyak RM1,000 setiap seorang,” jelas Merbin.
Merbin menjelaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas semua premis di sini dan akan memastikan SOP termasuk memastikan pemakaian pelitup muka di tempat awam dipatuhi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak leka dan sentiasa kekal waspada berkenaan dengan pandemik ini.
“Mana-mana individu yang tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan manakala penjarakan fizikal juga perlu diamalkan pada setiap waktu dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter,” kata Merbin.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia belum menang sepenuhnya dalam membendung pandemik ini dan hanya kerjasama daripada masyarakat awam sahaja yang boleh menentukan kejayaan ini.