KUCHING: Tumpuan ekonomi Sarawak pasca Covid-19 ialah untuk membangunkan industri dan hub petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan seluas 1,000 ekar yang diperuntukan untuk hub berkenaan dan kerja-kerja penyediaan tapak untuk membangunkan sebuah kilang menthanol dengan kos RM3.74 bilion sedang giat dilaksanakan.
“Selain itu, sebuah syarikat antarabangsa juga mengesahkan akan melabur RM24 bilion (USD6 bilion) di hub berkenaan.
“Industri hiliran minyak dan gas ini dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 74,000 orang secara langsung dan tidak langsung,” katanya ketika melancar Bulan Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak di ruang legar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini semalam.
Abang Johari berkata, dengan pelaksanaan program industri petrokimia itu dan juga program ekonomi lain, pendapatan isi rumah di Sarawak akan meningkat dan Sarawak tidak ada lagi istilah ‘Negeri Kaya Tapi Miskin’ menjelang 2030.
Sementara itu, Abang Johari mengakui Sarawak hendaklah melaksanakan program pembangunannya berdasarkan perspektif Sarawak di samping mengambilkira perspektif kebangsaan.
“Jika anak Sarawak sendiri tidak berupaya memelihara kepentingan dan hak Sarawak, siapa lagi yang boleh berbuat demikian.
“Dan saya menganggap tidaklah menjadi kesalahan Sarawak mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih hebat sehingga mampu menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Jika Sarawak, sebagai sebuah wilayah di negara ini mampu menjadi maju, ia juga akan menyumbang kepada pembangunan Malaysia secara keseluruhannya. Jika Sarawak Maju Malaysia juga Maju,” tegasnya.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utilti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol.
Oleh Diyana Samsuddin